Kes Sugumar: Pejabat AG benar adakan inkues

Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata siasatan ke atas kes kematian C Sugumar tetap akan dijalankan melalui inkues dan bukannya melalui siasatan ke atas individu terlibat berhubung kesalahan membunuh.

Jelasnya ia diputuskan demikian untuk mengenalpasti punca kematian individu berkenaan, yang ditemui mati dalam keadaan bergari.

NONE"Inkueslah. Badannya ditemui dengan keadaan begitu. Kita nak mencari punca kematian. Kami mahu mencari puncanya, sebab keputusan inkues pun siasatan juga.

"Sama ada (mengikut) Seksyen 302 (Kanun Keseksaan) atau Seksyen 327 (peruntukan sama), itu adalah seksyen yang diperuntukkan dalam undang-undang terhadap kesalahan yang telah dilakukan," katanya.

Seksyen 302 memperuntukkan hukuman berhubung kesalahan membunuh manakala Seksyen 327 pula berhubung kesalahan menyebabkan cedera untuk memeras.

"Untuk mencari punca kematian (mesti) melalui bedah siasat dan penyiasatan... Jadi pada masa ini, inilah situasinya," katanya ketika ditanya dalam satu sidang media di Subang Jaya hari ini.

NONEBeliau mengulas pendirian keluarga C Sugumar yang menolak tawaran polis untuk mengadakan inkues berhubung kematian lelaki tersebut.

Keluarganya juga mahu polis menahan pihak yang didakwa terlibat disiasat bawah kes bunuh, inkues menurut para peguamnya, N Surendran dan Latheefa Koya.

Mereka mempersoalkan kewajaran untuk mengadakan inkues, dan mendakwa ada bukti yang mencukupi untuk mendakwa individu terlibat atas kesalahan membunuh.

Dakwa mereka, ramai saksi mata akan tampil memberi keterangan bagaimana Sugumar dikejar, digari, dan dipukul oleh anggota polis sebelum ditemui mati.

NONEBagaimanapun, Tun Hisan memberi jaminan bahawa polis akan bertindak sebaik mungkin untuk menyiasat kes berkenaan kerana melibatkan kematian.

"Kalau tidak ada kematian pun, ia juga (dilihat) serius kerana melibatkan kehilangan seseorang,(atau) kecederaan pada seseorang dan sebagainya," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita dalam sidang media di Universiti Sunway, Subang Jaya selepas melancarkan satu buletin elektronik di kampus berkenaan.

Buletin yang dinamakan "Digital- Beyond Buletin" itu memuatkan kandungan berkaitan jenayah dan kepolisian yang ditulis oleh pegawai kanan polis, hakim, peguam, pakar jenayah, psikologis, dan ahli akademik.

Sementara itu, satu kenyataan PDRM petang ini menyebut pejabat peguam negara memberi kebenaran kepada polis untuk mengadakan inkues berkenaan.

Laporan yang memetik kenyataan polis Bukit Aman itu menyebut, pasukan berkenaan akan mendapatkan tarikh inkues berkenaan daripada pihak majistret.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.