Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
LGE tanya AG: Bagaimana dengan Ibrahim Ali?
Diterbitkan:  Jan 29, 2013 2:59 PM
Dikemaskini: 7:12 AM

DAP berkata bahawa jaminan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail bahawa tindakan akan diambil terhadap laporan atau ketetapan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) mengenai pendatang tanpa izin di Sabah adalah tidak bermakna apabila beliau gagal untuk mengambil tindakan terhadap seruan Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali supaya dibakar Bible versi bahasa Melayu yang menggunakan kalimah Allah.

Lim Guan Eng at DAP AGM Bukan itu sahaja, Abdul Gani juga telah gagal untuk menubuhkan

Suruhanjaya Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) yang dicadangkan oleh RCI Polis, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini.

"Abdul  Gani telah pun membuktikan bahawa beliau takut untuk mengambil tindakan dalam kes-kes yang membabitkan pemimpin BN, kroni atau penyokong mereka.

 

"Contoh yang paling jelas bahawa beliau takut dan mengamalkan dwi-standard adalah keengganan beliau untuk mengambil tindakan terhadap PERKASA atas seruan mereka untuk membakar Bible dengan alasan yang tidak masuk akal bahawa belum ada Bible yang dibakar lagi, dan beliau hanya akan bertindak setelah ada Bible yang dibakar!

"Pada masa yang sama, beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas pemimpin PR seperti Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh atas dakwaan hasutan," kata Lim.

Semalam, Gani berjanji bahawa kerajaan akan bertindak atas apa-apa laporan atau resolusi oleh RCI mengenai pendatang haram di Sabah, dan tindakan akan diambil jika unsur-unsur jenayah terlibat.

"Ya, jika terdapat kesalahan jenayah, kita akan bertindak. Ini adalah janji kerajaan. Itulah sebabnya RCI ditubuhkan," Gani dipetik sebagai berkata.

Lim berkata, jaminan Abdul Gani bahawa beliau akan bertindak sekiranya ada kesalahan jenayah merupakan janji kosong berikutan simdrom penafian kerajaan BN dalam kes kematian ngeri pengawal sekuriti C Sugumaran dalam keadaan digari oleh polis, dan kematian mangsa dalam tahanan seperti Chang Ching Te dan K Kugan serta kes Aminulrasyid Amzah yang mati ditembak polis.

Beliau yang juga ketua menteri Pulau Pinang berkata, masa sudah tiba bagi rakyat Malaysia untuk menggugurkan Peguam Negara yang didakwanya bersifat politik dan yang tidak berfungsi melainkan untuk memenuhi keperluan tuannya.

"Rakyat Malaysia berhak mempunyai Peguam Negara yang menunaikan tanggungjawabnya secara profesional dan tidak berat sebelah mengikut undang-undang tanpa rasa takut atau memihak.

"Selagi para kroni dan penyokong pemimpin BN mempunyai imuniti undang-undang sementara rakyat yang tidak bersalah dihukum oleh Peguam Negara hanya kerana mereka berbeza pendapat atau menentang BN, selagi itulah tidak ada keadilan untuk semua," tegas Lim

 

ADS