PAS: Penguguran Nasha bukan tindakan politik

PAS menafikan pengguguran bekas timbalan presiden PAS Nasharudin Mat Isa sebagai anggota Majlis Syura PAS, bermotifkan politik dan ada kaitan dengan lawatannya ke Gaza bersama rombongan kerajaan seperti yang digembar-gemburkan oleh media.

Menurut laporan Sinar Harian Online hari ini, Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai berkata, keputusan badan tertinggi parti itu pada 13 Januari lalu, dibuat berikutan "komitmen yang kurang memuaskan" oleh Nasharudin.

NONE"Tak ada kena-mengena dengan politik.

"Kita mengambil keputusan itu pada 13 Januari lalu, namun saya tak pasti bila surat rasmi dihantar kepada Nasharudin.

"...seperti kita katakan sebelum ini, kita ambil tindakan sedemikian disebabkan komitmennya yang kurang memuaskan," katanya dipetik dari Sinar Harian Online.

Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilapor tetap menganggap pengguguran Nasharudin ada kena mengena dengan lawatan bekas timbalan presiden PAS itu bersamanya ke Gaza.

Bagaimanapun Setiausaha Majlis Syura Datuk Nik Zawawi Nik Salleh pula dilapor menegaskan pengguguran ahli parlimen Bachok itu tidak ada kena mengena dengan lawatan ke Gaza sebaliknya keputusan tersebut dibuat lebih awal dari itu.

NONELaporan portal itu juga menyebut Tuan Ibrahim sebagai berkata, Nasharudin sering mengadakan lawatan bersama kerajaan sebelum ini, tetapi Majlis Syura tidak pernah mengambil tindakan terhadapnya.

"Tak ada kena-mengena dengan lawatan, dulu pun Nasharudin pergi juga.

"Namun kita tak pernah pula ambil tindakan, kalau sebab ini yang dikatakan kita ambil tindakan sebegitu padanya," katanya lagi.

Laporan itu juga menyebut, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali sebagai berkata pengguguran Nasharuddin bukan disebabkan faktor politik, tetapi prestasinya yang didakwa kurang memuaskan.

"Saya memang bukan ahli Majlis Syura, tapi saya diberitahu Nasharudin digugurkan pada 13 Januari lalu sebelum beliau pergi ke Gaza.

"Jadi bukan faktor politik lah, Majlis Syura ambil tindakan sebegitu, tapi prestasi beliau," katanya dipetik.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.