Khalid alu-alukan saman dari kumpulan warga emas

Menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim mengalu-alukan rancangan sekumpulan 2,000 orang warga emas untuk memfailkan saman ke atas kerajaan negeri kerana didakwa tidak memenuhi janji yang dibuat semasa pilihan raya umum 2008.

Katanya, beliau mengalu-alukan saman berkenaan kerana berpendapat, kerajaan negeri telah melakukan lebih daripada apa yang dijanjikannya ketika kempen pilihan raya tersebut.

"Boleh, boleh (saman). Teruskan ke mahkamah, itu memang digalakkan... Mengikut pandangan kita, kita dah buat lebih daripada apa yang kita janjikan," katanya.

Khalid juga berkata beliau tidak dapat memastikan mengenai butiran saman yang hendak dikemukakan kumpulan itu, namun menegaskan bahawa kerajaan Selangor sememangnya menyediakan bayaran khairat kematian untuk warga emas yang meninggal dunia.

Tambahnya, kerajaan negeri juga meraikan warga emas dengan pemberian baucar membeli-belah RM100 melalui program 'Jom Shopping yang tidak diumumkan dalam manifesto pilihan raya sebelum ini.

Beliau mengulas ancaman saman oleh kumpulan tersebut untuk menuntut bayaran caruman takaful RM2,500 yang didakwa dijanjikan semasa kempen pilihan raya tersebut.

Perkara itu dinyatakan seorang peguam, Kamaruddin Ahmad dalam satu program bersama ADUN BN Selangor, Datuk Ismail Kijo yang mengetuai usaha tersebut.

ADUN Lembah Jaya itu bertindak sebagai pengerusi penyelaras bagi program yang diuar-uarkan dengan nama Tuntutan Warga Emas Selangor itu.

Perkara itu diumumkan mereka pada satu majlis penyampaian beras kepada kira-kira 200 warga emas dan ibu tunggal di Shah Alam, semalam.

Kamaruddin merupakan peguam sama yang mewakili sebilangan ibu tunggal bagi menuntut elaun bulanan yang didakwa dijanjikan kerajaan Selangor dalam PRU lalu.

Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Selangor Murtini Kasman, yang mewakili seramai 2,020 ibu tunggal di negeri itu pada 22 November lalu memfailkan tuntutan bagi menuntut tunggakan elaun tersebut, berjumlah RM10.9 juta daripada kerajaan negeri.

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Januari menolak permohonan Khalid dan kerajaan Selangor untuk mengenepikan saman tersebut.

Khalid bagaimanapun mengumumkan untuk membuat rayuan sekali lagi untuk mengenepikan saman tersebut.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.