Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Perkhidmatan monorail di bandar raya ini tergendala selepas satu daripada tayar getah sebuah trennya yang dalam perjalanan ke Stesen Titiwangsa, meletup berhampiran Stesen Monorail KL Chow Kit semalam.

Pengurus Kanan Komunikasi dan Hal Ehwal Media Syarikat Prasarana Negara Berhad Berhad (Prasarana) Azhar Ghazali berkata tindakan pantas pemandu tren berkenaan berjaya memastikan keselamatan penumpang.

"Pemandu berkenaan, Rizalman Rosli, 37, berjaya memberhentikan tren dengan selamat apabila tayarnya meletup pada 6.30 petang. Sebuah tren dihantar untuk menarik tren yang terkandas itu ke stesen terdekat.

"Selepas itu, sebuah tren penyelamat dihantar dan sampai di tempat kejadian pada jam 7.15 malam untuk memindahkan penumpang," katanya dalam kenyataan.

Ketua Pegawai Operasi KL Monorail Abdul Hadi Amran berkata urusan pemindahan penumpang selesai menjelang jam 7.24 malam dan kesemua 200 penumpang selamat, manakala alat penyaman udara tren terbabit berfungsi sepanjang urusan pemindahan penumpang dijalankan.

Katanya pasukan penyelamat KL Monorail menjalankan kerja pemindahan penumpang itu dengan bantuan Jabatan Bomda dan Penyelamat.

"Kami sediakan perkhidmatan alternatif di stesen kami sehingga perkhidmatan monorail disambung semula," katanya.

Sementara itu, pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Khiruddin Drahman dalam kenyatan melalui khidmat pesanan ringkas kepada Bernama berkata 29 anggota bomba dan penyelamat dari balai bomba Hang Tuah, Setapak, Titiwangsa dan Sentul terlibat dalam operasi menyelamat itu.

Katanya mereka membantu memindahkan 164 penumpang iaitu 103 wanita, 60 lelaki dan seorang kanak-kanak.

- Bernama

ADS