'Ahli PAS menangis pun tidak, ketawa pun tidak'

Pengguguran Nasharuddin Mat Isa daripada Majlis Syura Ulama PAS nampaknya tidak memberi kesan yang besar baik kepada ahli PAS mahu pun para pengundi yang bukan ahli parti.

Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malysia (UKM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berpendapat ahli parlimen Bachok itu tidak mempunyai pengaruh yang kuat mahu pun jumlah pengikut yang ramai untuk memberikan impak kepada 'cuaca' politik tanah air.

NONE"Saya lihat (pengguguran ini) biasa sahaja, tidak cukup signifikan untuk tukarkan pola pengundian - sebabnya Nasharuddin dah lama terpinggir daripada kepimpinan PAS Pusat.

"PAS pun tidak (akan bertambah) kukuh daripada pemecatan ini. Orang hendak menangis pun tidak, hendak ketawa pun tidak," katanya kepada Malaysiakini.

Pengguguran Nasharuddin diumumkan Setiausa Majlis Syura, Datuk Nik Zawawi Nik Salleh pada 27 Januari lalu.

Ia dikatakan berpunca daripada kegagalan beliau mematuhi beberapa peraturan majlis syura - antaranya ialah kegagalannya menghadiri mesyuarat jawatankuasa itu.

Sebelum ini, Nasharuddin sendiri tidak hadir ke muktamar tahunan PAS yang lalu walaupun beliau pernah menyandang jawatan timbalan presiden PAS.

Mengulas lanjut, Agus menegaskan di luar lingkungan PAS, orang ramai melihat pengguguran Nasharuddin sebagai satu isu sampingan.

NONEJusteru Agus meramalkan nasib politik Nasharuddin tidak akan mampu menimbulkan 'gelombang' rakyat - satu fenomena yang menurutnya hanya mampu dicetuskan personaliti seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tengku Razaleigh Hamzah.

"Pengundi kini lebih memberi perhatian kepada isu-isu seperti keadilan sosial dan pentadbiran.

"Jikalau isu-isu sempit, ia tidak akan memberikan kesan melainkan ia melibatkan isu-isu sejagat," katanya.

Sebelum ini, Nasharuddin dilihat semakin intim dengan kepimpinan Umno terutamanya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Penggugurannya juga berlaku sewaktu beliau dalam perjalanan pulang ke Malaysia selepas menemani Najib melawat Palestin.

zainal klingKetua Kluster Sejarah Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Datuk Dr Zainal Kling (kiri) sependapat dengan Agus dan merasakan faktor Nasha tidak akan banyak mempengaruhi senario politik negara menjelang pilihan raya.

"Kita sendiri melihat Nasha tidak ada pengikut yang kuat, tidak banyak reaksi dari anggota PAS berkenaan pemecatan ini.

"Saya tak fikir dia (Nasha) akan beri sumbangan besar kepada kemenangan BN dalam pilihan raya akan datang ini," katanya.

Bagaimana pun, beliau meramalkan Nasharuddin akan kekal di dalam PAS dan pengguguran ini membuka peluang yang lebih besar untuk beliau bersikap lebih kritis terhadap PAS.

Jelasnya, personaliti seperti Nasharuddin masih mempunyai perasaan yang kuat terhadap perjuangan asal PAS yang menekankan agenda negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud walaupun kedua-dua perkara itu tidak lagi dibincangkan kepimpinan PAS di peringkat nasional.

nik aziz angry and pas 020607"Walaupun di peringkat nasional sudah kurang membincangkan hal itu, ahli-ahlinya masih lagi membincangkan perkara itu.
 
"Justeru, golongan-golongan yang telah 'tersingkir' ini merasakan mereka masih lagi ahli PAS," katanya.

Menurut Agus pula, pengajaran yang lebih besar daripada pengguguran Nasharuddin adalah - ia mencerminkan tahap tolak ansur parti-parti politik terhadap mereka yang mempunyai pandangan berbeza dengan pihak majoriti dalam parti.

Beliau menyifatkannya sebagai satu cabaran yang masih perlu ditangani semua parti di Malaysia.

"Yang penting pemecatan Nasharuddin menimbulkan persoalan kepada sejauh mana perbezaan pendapat diraikan dalam parti-parti politik.

"Ini seterusnya memberikan gambaran kepada tahap demokrasi yang masih rendah di dalam negara kita," kata Agus.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.