Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
S'gor mahu ambil alih khidmat air dalam 14 hari
Diterbitkan:  Jan 30, 2013 5:18 PM
Dikemaskini: 1:13 PM

Kerajaan negeri Selangor akan mengambil alih perkhidmatan bekalan air daripada syarikat konsesi sekarang, dalam masa dua minggu, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Katanya, ia ekoran kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini bahawa kerajaan pusat tiada halangan terhadap langkah tersebut.

"Kerajaan Selangor telah menulis surat kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Kah Fui untuk memaklumkan bahawa kita akan mengambil alih perkhidmatan air daripada syarikat konsesi dalam tempoh 14 hari," kata menteri besar dalam dalam satu kenyataan hari ini.

"Dalam surat tersebut kita telah memaklumkan bahawa pengambilalihan perkhidmatan industri air akan diteruskan dalam tempoh 14 hari sekiranya pihak kementerian tidak memberi sebarang maklum balas," tambahnya.

Dalam perkembangan berkaitan, menteri besar berkata, pihaknya mendapat aduan rakyat bahawa SYABAS telah mengedarkan risalah yang mengkritik kerajaan Selangor dalam isu air.

"Hasil siasatan awal yang kita lakukan, didapati kenyataan SYABAS tersebut telah dikeluarkan oleh Pengarah Eksekutif Pembangunan Teknikal SYABAS, Ir V Subramaniam," katanya.

Menurut Khalid lagi, risalah tersebut dikeluarkan tanpa mendapat persetujuan dan pengetahuan Ahli Lembaga Pengarah SYABAS.

"Sehubungan itu, sebagai pemegang saham dalam SYABAS, kerajaan Selangor mendesak supaya diadakan siasatan dalaman terhadap Subramaniam kerana bertindak melebihi kuasa yang dibenarkan," katanya.

Menteri besar berkata, kerajaan negeri juga telah dimaklumkan bahawa mutakhir ini berlaku kekerapan kejadian paip bocor yang memberi kesan terhadap pembekalan air kepada rakyat.

"Kerajaan Negeri Selangor akan memantau perkara ini dengan serius demi menjaga kepentingan rakyat dan memastikan lebih lima juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya tidak terjejas dengan gangguan bekalan air akibat  kegagalan SYABAS menyelenggara paip dengan baik dan berkala," tambahnya.

 

ADS