Himpunan Hijau ikrar tumbang BN di Serambi Hijau

Kumpulan aktivis alam sekitar, Himpunan Hijau mengumumkan penyertaan mereka secara rasmi dalam arena politik dan berkempen untuk menumbangkan BN di enam kerusi Parlimen di Pahang yang dinamakannya 'Serambi Hijau Pahang' dalam pilihan raya umum akan datang.

Pengerusinya, Wong Tack berkata, mereka akan berkempen untuk memenangkan calon-calon Pakatan Rakyat di kawasan-kawasan yang dinamakan 'Serambi Hijau Pahang'.

NONE"Himpunan Hijau mulai hari ini menyertai arena politik.

"Pada masa ini, kita perlu ambil tindakan tegas untuk memastikan semua rakyat bersatu untuk membentuk kerajaan yang mendengar suara rakyatnya.

"Kami mahu melihat pentadbiran negara ini menghormati hak asasi manusia, suara rakyat, ekologi dan juga sistemnya," kata Wong Tack
dalam  sidang media di Kuala Lumpur pagi tadi.

Beliau turut memberikan peringatan kepada Pakatan supaya menghentikan operasi Lynas dalam tempoh sebulan jika mereka berjaya mentadbir Putrajaya.

"Kami mahu Pakatan Rakyat bertindak dalam masa 30 hari selepas menang.

"Operasi (Lynas) harus dihentikan dan digantung. Tiada kompromi," katanya.

Penasihat Himpunan Hijau, Wong Chin Huat yang turut bercakap petang tadi menjelaskan 'Serambi Hijau Pahang' meliputi lapan kawasan parlimen dan 23 dewan undangan negeri (DUN) di Pahang.

Namun katanya, Himpunan Hijau akan menumpukan kepada enam kerusi Parlimen iaitu Kuantan, Indera Mahkota, Temerloh, Raub, Cameron Highlands dan Bentong bagi menyumbangkan 5.4 peratus daripada 112 kerusi yang diperlukan untuk menukar kerajaan Persekutuan.

Tambahnya, kempen yang sama akan turut menumpukan 14 kerusi DUN di Pahang bagi menyumbangkan 63.6 peratus daripada 22 kerusi yang iperlukan untuk menukar kerajaan negeri.

Menurut Chin Huat, dalam Serambi Hijau itu sendiri terdapat tiga projek yang dianggap merbahaya kepada alam sekitar - loji memproses nadir bumi Lynas, lombong emas sianida di Raub, dan pembalakan di Cameron Highlands.

Justeru, Himpunan Hijau akan menggembleng briged mereka yang dinamakan Angkatan Mat Kilau untuk menjayakan kempen di Serambi Hijau kelak.

"Kami akan menubuhkan Angkatan Mat Kilau di setiap kawasan parlimen dan DUN dalam Serambi Hijau terutamanya kawasan yang menjadi fokus," katanya sambil menegaskan terdapat persamaan di antara usaha menghentikan operasi loji Lynas dari Australia dengan usaha tokoh nasionalis Mat Kilau menghalau penjajah dari tanahair pada kurun ke-19.

Wong Tack pula menegaskan kempen Serambi Hijau akan menyaksikan Himpunan Hijau menggiatkan usaha memujuk lebih ramai orang Melayu agar turut cakna dengan agenda mereka yang selama ini diabaikan media berbahasa Melayu arus perdana.

"Dengan akhbar-akhbar bahasa Melayu yang dikuasai regim BN, maklumat sebegini dihalang daripada sampai kepada orang ramai.

"Tugas kami kini adalah memastikan Angkatan Mat Kilau melawat setiap keluarga di ceruk kampung dan menyampaikan mesej kami," katanya.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.