S'gor cadang bubar DUN selepas Chap Goh Mei

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri bercadang untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas sambutan Chap Goh Meh bulan depan.
    
Katanya cadangan itu tertakluk kepada perbincangan dengan pemimpin tertinggi pakatan pembangkang sebelum pihaknya memutuskan perkara berkenaan.
    
"Kalau selepas Chap Goh Meh ini, Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) tidak membuat sebarang pengumuman atau memberi apa-apa indicator berhubung tarikh pilihan raya, kita bercadang untuk melakukan perkara ini (bubarkan DUN).  
    
"Kita merasakan rakyat yang memilih kita sudah bersedia (untuk pilihan raya) dan mereka tidak patut menunggu lama lebih daripada tempoh yang sepatutnya (untuk membubarkan DUN)," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di Shah Alam hari ini.
    
Ketika ditanya sama ada kerajaan negeri bersedia untuk mengadakan pilihan raya serentak dengan kerajaan Persekutuan, Abdul Khalid tidak menolak perkara itu.

"Kita tiada sebarang halangan (untuk mengadakan pilihan raya serentak), dulu saya ada kata kerajaan negeri tidak boleh membuat pilihan raya sebelum perbentangan bajet negeri Selangor, sekarang ini pembentangan bajet pun dah selesai jadi kita bersedia untuk bubarkan DUN," katanya.
    
Mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor, dalam petikan perkara-perkara berhubung kait dengan urusan pilihan raya iaitu perkara LXX. (2), Duli Yang Maha Mulia boleh memprorogkan atau membubarkan Dewan Negeri.
    
Melainkan jika dibubarkan terlebih dahulu, Dewan Negeri hendaklah terus berjalan selama lima tahun dari tarikh persidangan pertamanya dan selepas itu adalah terbubar.
    
Mengenai isu air, Abdul Khalid berkata kerajaan negeri akan mengambil alih perkhidmatan air daripada syarikat konsesi air Selangor selepas tempoh 14 hari.
    
Katanya, kerajaan negeri telah pun menulis surat kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air bagi memaklumkan perkara itu.
    
"Kita beri tempoh pada kementerian berkenaan 14 hari bermula Isnin depan untuk menjawab kepada kita berhubung pengambilalihan perkhidmatan industri air itu dan sekiranya tiada sebarang maklum balas, proses pengambilalihan itu akan diteruskan," katanya.
    
- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.