Mahfuz masih berusaha temui Deepak

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata beliau akan bertemu dengan Deepak Jaikishan pada 6 Februari bagi membincangkan mengenai hasrat ahli perniagaan itu untuk mendapatkan jaminan imuniti daripada tindakan undang-undang berhubung pendedahannya.

Mahfuz bagaimanapun berkata, pertemuan yang akan dibuat di ibu pejabat PAS itu masih lagi belum dimaklumkan  kepada Deepak.

NONE"Sebelum ini saya nyatakan kesediaan untuk bertemu Deepak dan memohon sesuatu daripada Pakatan Rakyat berkaitan imuniti bagi membolehkan lebih banyak pendedahan maklumat yang beliau ada.

"Saya bersedia untuk mendengar terlebih dahulu sebelum memberi komitmen. Adalah wajar bertemu Deepak dulu. Saya bersedia nak dengar. Imuniti itu satu benda yang besar.

"Jadi nak tau apa maklumat dia ada sampai boleh beri imuniti pada beliau," katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS hari ini.

MP Pokok Sena itu berkata, pertemuan itu akan turut ditemani peguam yang akan menasihatkan tindakan lanjut.

"Pertemuan itu disini pada jam 11 pagi. Saya akan minta pegawai saya untuk hubungi Deepak selepas ini untuk maklum pada beliau. Saya harap beliau datang dengan persiapan rapi untuk jaminan imuniti pada beliau.

"Saya tak janjikan tapi akan bawa bersama rakan-rakan penasihat undang-undang untuk bersama menilai dan kemudian akan berbincang sejauh mana tindakan lanjut yang boleh diberikan.

"Yang penting sebagai rakyat msia Deepak perlu tampil untuk membongkar, mendedahkan semua maklumat yang ada dan dedah semua perlakuan jenayah yang dilakukan sesiapa, sekalipun pemimpin negara Malaysia. Kesediannya sangat dialu-alukan untuk masa depan negara," kata Mahfuz lagi.

Usaha untuk menemui Deepak itu diumumkan Mahfuz sejak 18 Januari lalu namun masih belum berhasil sehingga kini.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.