Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Piagam '10 minit clearence' di KLIA mulai esok

Piagam '10 Minutes Clearence' akan diperkenalkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mulai esok, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

    

Beliau berkata Jabatan Imigresen Malaysia diarah menetapkan tempoh maksimum 10 minit terutamanya pada waktu puncak bagi pelanggan melepasi pemeriksaan imigresen, termasuk masa berbaris di kaunter pendaftaran pintu masuk KLIA.

    

"Inisiatif ini yang akan dilaksanakan mulai 1 Feb 2013 akan dapat mengurangkan kesesakan dan masa menunggu para pelawat sekali gus mmemberi imej positif kepada negara," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan sambutan Hari Imigresen 2012 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

    

Katanya inisiatif itu dilaksanakan atas nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi meningkatkan mutu perkhidmatan serta memberi gambaran baik terhadap imej Malaysia di kalangan masyarakat antarabangsa.

    

"Adakalanya penumpang terpaksa beratur satu jam, sungguhpun bukan terlalu kerap tetapi semasa jumlah penumpang terlalu ramai, terutamanya pada waktu puncak. Jadi PM kata mesti selesaikan penumpang dalam masa 10 minit," katanya.

    

Beliau berkata Jabatan Imigresen juga akan menambah kaunter bagi memastikan inisiatif baharu itu berjalan lancar selain menambah anggota dalam masa terdekat.

    

Inisiatif seumpama itu, katanya, telahpun dilaksanakan di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) sebelum ini.

    

Mengenai kematian pengawal keselamatan C. Sugumaran yang didakwa dipukul anggota polis, Hishamuddin berkata peguam negara meluluskan permohonan Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah supaya inkues berhubung kes itu diadakan.

    

"Penting keadilan, kalau sekiranya polis bersalah...dari dulu lagi saya dah kata mereka akan dihadapkan ke mahkamah. Tapi janganlah kita ambil keputusan tanpa ia disiasat dan tanpa mengetahui kebenarannya.

    

"Saya difahamkan bahawa 160 saksi telah diambil (keterangan), 95 peratus daripadanya orang awam. Jadi gembar-gembur yang dikeluarkan dalam media sosial memang tidak berasas," katanya.

    

Kata Hishammuddin beliau turut memaklumkan perkembangan terkini berhubung siasatan kes itu kepada Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel dan Timbalannya Datuk Seri Dr S. Subramaniam, semalam.

    

- Bernama

ADS