Rakyat M'sia di Mesir diminta elak kawasan darurat

Rakyat Malaysia yang menetap di Mesir dinasihatkan untuk tidak melakukan sebarang perjalanan ke tiga buah bandar utama
iaitu Port Said, Suez dan Ismailia yang kini di bawah perintah darurat.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah telah mengeluarkan notis kepada rakyat Malaysia berikutan perintah darurat yang dikeluarkan oleh kerajaan Mesir.

Beliau berkata situasi di beberapa bandar raya Mesir masih lagi berada dalam keadaan bergolak dan tidak menentu berikutan pertempuran antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan yang dijangka akan berlarutan.

"Rakyat Malaysia juga dinasihatkan supaya mengelak daripada berada di Dataran Tahrir dan kawasan berhampiran iaitu Kementerian Dalam Negeri, bangunan Parlimen, persisiran Sungai Nil dan Istana Presiden," katanya dalam kenyataan  malam tadi

Bagaimanapun, beliau berkata tiada laporan mengenai penglibatan rakyat Malaysia dalam pertempuran tersebut.
    
Anifah juga menasihatkan rakyat Malaysia yang bercadang ke Mesir untuk sentiasa berhati-hati dan peka serta tidak melakukan perjalanan ke kawasan berkonflik tinggi.

"Rakyat Malaysia dinasihatkan untuk sentiasa bergerak dalam kumpulan dan mengelak daripada menyertai sebarang perhimpunan besar dan demonstrasi," katanya.

Beliau meminta rakyat Malaysia di negara itu supaya sentiasa berhubung dengan Kedutaan Besar Malaysia yang beralamat 21, El Aanab Street, Mohandesseen, Giza, Mesir.

Kedutaan tersebut juga boleh dihubungi di talian (202) 37610013/19/68/73 atau (202) 37610216 (Faks),atau e-mel di alamat [email protected]

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.