Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai angkuh apabila membuat kenyataan parti itu tidak boleh bekerjasama dengan Umno.

    

Beliau berkata kenyataan Abdul Hadi itu juga jelas menggambarkan pemimpin PAS berkenaan tidak berfikir secara matang dan berpandangan jauh dalam arena politik.

    

"Sikap Abdul Hadi itu juga jelas menunjukkan dirinya seorang pemimpin politik yang sudah tidak relevan pada masa kini," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Karnival Karangkraf 2013 di Shah Alam hari ini.

    

Mohd Puad mengulas kenyataan Abdul Hadi yang dilapor sebuah akhbar hari ini bahawa PAS tidak boleh bekerjasama dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam perkongsian kuasa di negara ini kerana parti itu (BN dan Umno) tidak tahu memerintah.

    

Mohd Puad yang juga timbalan menteri pelajaran, berkata sikap PAS itu juga jelas tersasar dengan pendirian parti yang kononnya memperjuangkan Islam apabila sanggup bekerjasama dengan DAP yang berbeza agama tetapi menolak Umno.

"Sejarah sendiri jelas membuktikan bahawa Umno dan PAS pernah bekerjasama sebelum ini dan sangat menghairankan apabila PAS sanggup bersama pakatan yang menolak Islam termasuk dalam isu kalimah Allah," katanya.

Sementara itu, Mohd Puad turut mencabar Pengerusi DAP Kebangsaan Karpal Singh mengambil tindakan terhadap beberapa penyokong PAS yang baru-baru ini mengadakan demonstrasi membantah gesaan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng supaya membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam Bible versi bahasa Melayu.

"Saya telah kenal pasti tiga daripada mereka yang terlibat adalah anggota PAS yang turut memijak poster Guan Eng dan lambang parti DAP, jadi Karpal sebagai peguam patut ambil tindakan dan desak untuk memecat mereka yang terlibat," katanya.

    

Pada 27 Januari lepas, beberapa penyokong PAS mengadakan perhimpunan aman di sebuah masjid di Sungai Petani, Kedah, mendesak Ketua Menteri Pulau Pinang berkenaan memohon maaf kepada umat Islam di negara ini secara terbuka dengan segera.

    

- Bernama

ADS