Selepas 6 penggal, Peter Chin tak bertanding PRU13

Datuk Seri Peter Chin Fah Kui yang telah berkhidmat sebagai ahli parlimen Miri selama enam penggal menyatakan bahawa sudah tiba masanya beliau melepaskan tugasnya itu kepada orang lebih muda dalam pilihan raya umum akan datang.
    
Namun beliau yang juga Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) berkata beliau akan terus menerajui parti komponen Barisan Nasional (BN) itu sehingga penggal beliau tamat.
    
"Dua puluh enam tahun sebagai anggota parlimen adalah tempoh yang cukup lama dan tiba masanya untuk saya menyerahkannya kepada orang yang lebih muda," katanya kepada Bernama semasa menghadiri majlis makan malam anjuran Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Sarawak di Miri malam tadi.
    
Chin, 67, yang juga menteri tenaga, teknologi hijau dan air sebelum ini mengesahkan nama beliau tiada dalam senarai calon yang dikemukakan partinya kepada pucuk pimpinan BN.
    
Beliau berkata setiausaha politik beliau dan ketua komunikasi dan penerangan SUPP, Datuk Sebastian Ting dicalon untuk menggantikan beliau.
    
Ditanya sama ada Perdana Menteri dan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak menerima tujuh calon yang dikemukakan SUPP, beliau berkata terpulang kepada Najib untuk mengumumkan senarai calon pada masa yang sesuai.

Pada pilihan raya umum 2008, SUPP menang enam daripada tujuh kerusi kawasan Parlimen yang ditandinginya dan kalah satu lagi kerusi kepada DAP pada pilihan raya kecil Sibu 2010.
    
Chin juga berkata usaha kementerinnya untuk mendekati rakyat bagi menerangkan polisi kerajaan akan terus teruji dalam pilihan raya tidak lama lagi, terutama berikutan serangan media sosial termasuk alam siber serta stesen radio haram yang memutarbelitkan kebenaran dan melakukan pembohongan mengenai BN.
    
Beliau mengucapkan terima kasih kepada sokongan dan bantuan kepada kementerian itu oleh pelbagai agensi termasuk Jabatan Penerangan dalam menyampaikan mesej kerajaan di kawasannya.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.