MP: Bersihkan daftar pengundi sebelum p'raya

Pilihanraya umum tidak seharusnya diadakan melainkan pengundi yang tidak layak serta meragukan kewarganegaraannya, telah dibersihkan daripada senarai daftar pemilih, kata Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Hiew King Cheu.

NONEKatanya, adalah tidak adil bagi rakyat Malaysia tulen sekiranya pilihanraya diadakan dengan senarai daftar pemilih sedemikian.

“Berdasarkan kepada perkembangan semasa, sejumlah besar rakyat Malaysia yang tidak layak serta meragukan tersenarai dalam daftar pemilih. Maka, pilihanraya tidak seharusnya diadakan melainkan senarai pemilih dibersihkan.”

“Ramai mengaku secara terbuka bahawa mereka telah diberikan kewarganegaraan oleh kerajaan BN untuk mengundi pada pilihanraya-pilihanraya lepas.”

“Adakah kerajaan BN ingin meneruskan pilihanraya umum ke-13 dengan senarai daftar pengundi yang dipertikaikan, atau mengakui kesilapan lepas?” tanya Hiew dalam suatu kenyataan yang dikeluarkan petang semalam.

Jelas beliau Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkaitan Hak Asasi Manusia telah memperuntukkan bahawa isu seumpama ini perlu ditangani secara adil.

Oleh yang demikian, katanya, hak kedaulatan rakyat Malaysia untuk mengundi perlu diletakkan pada tahap yang tinggi, katanya lagi.

“Ia tidak seharusnya dikompromi demi kepentingan beberapa orang ahli politik yang ingin mengekalkan kuasa,” katanya sambil menambah tindakan mereka itu merupakan suatu pengkhianatan dan perlu dibawa ke muka pengadilan.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.