Najib tak pernah tawar jawatan, kata Nasha

Bekas timbalan presiden PAS Nasharudin Mat Isa berkata beliau berbaik dengan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan pemimpin Umno demi dakwah dan Najib sendiri tidak pernah menawarkan jawatan dalam parti lawan PAS itu.

Dalam wawancara yang disiarkan akhbar Mingguan Malaysia itu, Nasharudin berkata beliau berbaik dengan pemimpin berkenaan kerana melihat "ada ruang yang saya boleh berperanan untuk negara".

NONE"Saya bukan buat kerja untuk Umno, saya buat untuk negara, untuk agama, serta bangsa, malah ada perkara yang apabila saya cadangkan dan tawarkan, kedua-dua mereka ini sama ada perdana menteri dan timbalan perdana menteri menerimanya dengan terbuka.

"Kalau mereka juga boleh menerima dengan terbuka, kita sebagai rakyat biasa ini perlu mengambil kesempatan itu untuk mencari peluang bagaimana mahu memajukan negara," katanya dalam akhbar milik Umno itu.

Tambahnya, Najib tidak pernah menawarkan apa-apa jawatan kepadanya dalam Umno, walaupun menyertai rombongan perdana menteri itu ke Gaza.

NONE"Perdana menteri tidak ada langsung menyebut berkenaan meminta saya menyertai Umno. Sememangnya tidak ada sebarang tawaran dan saya juga sendiri tidak mempunyai niat pada ketika ini untuk meninggalkan PAS mahupun menyertai Umno, lainlah kalau saya memang betul-betul dipecat," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas andaian dalam di kalangan penulis blog bahawa beliau kini menjadi "alat Umno" atau "dibeli Umno".

MP Bachok itu juga mendedahkan, beliau pernah mewakili Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia ke Syria dalam persidangan speaker negara Pertubuhan Kerajasan Islam (OIC).

Nasharusin berkata, Pandikar tetap berkeras supaya beliau menjadi wakil walaupun selepas diperjelaskan bahawa beliau merupakan anggota PAS.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.