'Peralihan kuasa akan berlaku secara aman'

Bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari yakin ketenteraman awam akan terjamin sekiranya Pakatan Rakyat membentuk kerajaan persekutuan selepas pilihan raya umum akan datang.

Beliau yang kini merupakan ahli PAS memberi alasan peralihan kuasa daripada BN kepada Pakatan Rakyat selepas pilihan raya umum tahun 2008 juga berlaku secara aman.

NONE"Saya nak nyatakan tidak ada kerisauan daripada segi ketenteraman awam. Peralihan kuasa akan berlaku secara aman dan damai," katanya sewaktu berucap dalam satu program bersama pemimpin tertinggi PAS di Ampang pagi ini.

Katanya, keadaan sama dapat dilihat ketika peralihan kuasa berlaku di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak sebelum ini.

"Jadi Alhamdulillah, seperti yang di Perak itu selamat saya perhatikan (peralihan kuasanya)," katanya yang kini turut giat berceramah di pentas PAS.

Belia berkata demikian sewaktu membangkitkan isu mengenai kemungkinan yang akan berlaku jika Pakatan menguasai Putrajaya.

Tambahnya lagi, peralihan kuasa di Selangor juga berjalan dengan lancar walaupun polis pada masa itu meningkatkan langkah keselamatan kerana bimbang berlaku perkara di luar jangkaan.

"Kalau saya sendiri, sewaktu di Selangor saya tengok berjalan dengan baik dan dengan aman.

NONE"Walaupun kita kepung SUK (kerana) kita takut fail-fail dibawa keluar, semuanya mereka (BN) akur, sepatutnya tak perlu pun kita kepung," katanya lagi dalam majlis Himpunan Perdana Ummah itu.

Majlis berkenaan diadakan untuk menunjukkan sokongan pelbagai golongan kepada PAS menjelang pilihan raya yang akan dilangsungkan tidak lama lagi.

Turut hadir berucap di majlis itu adalah pelakon Hairie Othman, bekas pemain bola kebangsaan Abdullah Ali, dan bekas pengarah jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Nahrawi Hashim.

Selain itu, arkitek terkemuka tanah air dan kerabat diraja Terengganu, Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah dan isterinya penyanyi jazz, Noryn Aziz, juga hadir ke program tersebut.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.