Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB: Najib utama kroni berbanding kebajikan rakyat
Diterbitkan:  Feb 3, 2013 6:30 PM
Dikemaskini: 10:33 AM

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata bantuan kewangan tambahan RM120 juta yang diluluskan kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) menunjukkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak lebih mengutamakan syarikat kroni daripada kebajikan rakyat negeri.

"Tindakan Najib memberikan bantuan dana ini membuktikan kerajaan pusat sebenarnya tidak berminat membantu kerajaan Selangor mengambilalih air demi kebajikan rakyat.  

 

"Najib lebih mengutamakan syarikat konsesi yang dikuasai kroni Umno yang selama ini berusaha menaikkan kadar tarif air tetapi berjaya dihalang oleh kerajaan Selangor," kata Khalid dalam satu kenyataan hari ini.

Khalid juga berkata, kerjaan Selangor akan meminta SYABAS memperincikan bentuk perbelanjaan ke atas jumlah RM120 juta tersebut bagi mengelakkan penyelewengan.

Khalid berkata, Najib tetap meluluskan bantuan kewangan tersebut walaupun syarikat konsesi itu didakwanya gagal menguruskan bekalan air bersih dan sumber air secara profesional dan berkesan.

"Sejarah telah membuktikan walaupun SYABAS menerima pinjaman mudah daripada kerajaan pusat tetapi syarikat itu yang menerima konsesi selama 30 tahun untuk menguruskan air di Lembah Klang tetap gagal menurunkan kadar peratusan air tidak berhasil (NRW) yang ketika ini pada paras 33 peratus.

 

"Dalam Perjanjian Penswastaan Air pada 2004 antara tiga pihak iaitu SYABAS, kerajaan negeri dan Pusat, SYABAS perlu mematuhi perjanjian dengan menurunkan NRW kepada 19.98 peratus pada 2011," katanya.

Tambahnya, kadar itu masih berada pada paras 33 peratus selepas SYABAS membelanjakan lebih RM1.69 bilion yang menurutnya jauh melebihi jumlahyang ditetapkan dalam perjanjian konsesi.

"Kegagalan tersebut telah menyebabkan negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya terlepas peluang untuk mendapatkan penjimatan kira-kira 663 juta liter sehari (JLH) yang mana jumlah ini dapat menampung permintaan air hingga 2017," katanya.

ADS