Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DAP dakwa RM3.41b dibelanja untuk selamatkan SYABAS
Diterbitkan:  Feb 4, 2013 1:24 PM
Dikemaskini: 11:54 AM

Setiausaha publisiti DAP Tony Pua mendakwa peruntukan tambahan sebanyak RM120 juta kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) yang diumumkan perdana menteri menjadikan jumlah dana untuk "menyelamatkan" syarikat kini meningkat menjadi RM3.41 bilion dalam tempoh empat tahun.

Katanya, peruntukan tambahan itu juga membuktikan bahawa krisis air di Selangor dan Kuala Lumpur tiada kaitan dengan keperluan untuk penyaluran air dari projek Langat 2.

"Sebaliknya, ia membuktikan bahawa krisis itu adalah disengajakan oleh SYABAS untuk menaik taraf loji rawatan, membina kapasiti air tambahan yang dirawat serta membaiki dan menggantikan paip lama dan pecah.

"Dengan RM120 juta yang digunakan, ia menunjukkan krisis tersebut dapat diatasi jika SYABAS melabur dana sendiri untuk usaha ini sejak awal," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Pua, kerajaan negeri dan juga persekutuan tiada kewajipan untuk menyediakan geran atau pinjaman kepada SYABAS untuk menaiktaraf infrastruktur air.

Maka, peruntukan RM120 juta kepada SYABAS itu bukan geran oleh kerajaan persekutuan untuk membatu rakyat di negeri tersebut tetapi satu skim yang didakwa untuk menyelamatkan syarikat berkenaan.

MP Petaling Jaya Utara itu seterusnya menyenaraikan dana yang didakwa disalurkan kerajaan persekutuan BN untuk menyelamatkan syarikat berkenaan.

"Pada Disember 2009, kerajaan memberi pinjaman mudah RM320.8 juta selama 20 tahun kepada SYABAS.

"Pada Oktober 2011, kerajaan BN sekali lagi memberi pinjaman RM110 juta selama 20 tahun kepada SYABAS untuk tujuan sama," katanya.

Dakwanya lagi, kerajaan sekali lagi menyelamatkan SYABAS dengan mengambil alih keseluruhan bon SYABAS sebanyak RM2.9 bilion yang tertunggak.

"Sehingga kini, Menteri Tenaga Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin masih belum mendedahkan sama ada SYABAS telah membayar barang satu sen daripada bon penyelamatan RM2.9 bilion oleh kerajaan persekutuan," katanya.

Oleh yang demikian, jumlah yang terkumpul setakat ini ialah RM3.41 bilion, kata Pua.

ADS