'Isu kalimah Allah kena tanya KDN, bukan PAS'

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata isu mengenai penggunaan kalimah Allah dalam Bible sepatutnya diperjelaskan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan bukannya oleh parti tersebut.

Katanya, KDN merupakan pihak yang bertanggungjawab memberikan lesen mencetak kitab itu.

"Sepatutnya soalan ini dikemukakan kepada Kementerian Dalam Negeri, kerana hak membenarkan kalimah Allah dalam Bible ini hak Kementerian Dalam Negeri.

"Yang menentukan untuk dicetak dan seumpamanya bukannya kami, kami (belum) memerintah lagi (di peringkat persekutuan)," kata Hadi pada sidang media di Shah Alam pagi.

Beliau berkata sedemikian sewaktu diminta mengulas berkenaan ketetapan Majlis Syura Ulama PAS berhubung soal tersebut dalam satu sidang media di Shah Alam pagi tadi.

Hadi berkata, PAS hanya "diheret" ke dalam polemik tersebut, sedangkan kuasa untuk menentukan penggunaannya berada bawah bidang kuasa KDN.

"Mengapa heret kami dalam perbincangan ini?," kata Hadi.

Hadi sebelum ini mengumumkan pendirian PAS bahawa penggunaan kalimah Allah oleh mereka yang bukan beragama Islam dibenarkan walaupun ia tidak mencapai maksud sebenar Al-Quran.

Penggunaan kalimah Allah itu juga dibenarkan dengan syarat ia tidak disalahguna atau pun bertujuan menghina agama Islam, kata Hadi.

Beliau menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Antarabangsa Pendidikan di Universiti Selangor (Unisel) yang dirasmikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan turut dihadiri Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Teng Chang Khim.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.