Tahanan pusat pemulihan maut selepas bergaduh

Seorang tahanan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Gambang di Kuantan maut selepas bergaduh dengan seorang lagi tahanan di dalam sel tahanan pusat itu, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata lelaki berusia 31 tahun yang baru empat hari ditahan di situ meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Gambang.

Beliau berkata polis menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 7.45 malam.

"Siasatan awal mendapati pergaduhan bermula daripada mangsa yang menyepak kaki suspek, 40-an, menyebabkan suspek naik angin lalu menghentak kepala mangsa ke dinding.

"Tidak cukup dengan itu suspek mengambil tali dan bertindak menjerut leher mangsa," katanya ketika dihubungi di Kuantan, hari ini.

Beliau berkata polis bantuan bergegas ke sel itu setelah mendengar jeritan tahanan lain dan mendapati mangsa tidak sedarkan diri.

Mohd Jasmani berkata polis menahan suspek bersama 11 tahanan lain untuk mengambil keterangan lanjut.

"Dipercayai kejadian berpunca daripada dendam lama suspek kepada mangsa yang dikatakan berhutang dengannya sebelum ini," katanya.

Beliau berkata suspek yang turut mempunyai enam rekod jenayah lampau  termasuk kes bunuh, kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.