Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Seorang ahli perniagaan Iqbal Ameer berkata syarikat miliknya tiada kaitan dengan konsert anjuran BN di Pulau Pinang pada 11 Februari yang dikatakan akan menampilkan penyanyi pop Korea Psy.

Katanya, syarikat Livescape Sdn Bhd yang diasaskannya adalah penganjur untuk konsert Future Music Festival Asia pada Mac nanti.

"Kita tak ada apa-apa aktiviti yang berkaitan dengan konsert di Pulau Pinang atau dengan BN.

"Kami hanya anjur konsert Future Music Festival sahaja. Bukan konsert BN.

"(BN) juga tidak pernah tanya atau berhubung dengan kita," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

Konsert anjuran syarikatnya pada 15 dan 16 Mac juga akan menampilkan Psy.

Ditanya lanjut mengenai kos yang akan ditanggung syarikatnya untuk persembahan penyanyi popular itu, Iqbal berkata perkara itu sukar untuk dijelaskannya kerana melibatkan usahasama dengan satu syarikat lain di Australia.

Konsert itu juga dijalankan secara bersiri di 22 buah negara termasuk Malaysia, katanya.

"Jadi harga untuk penyanyi bukan kita yang tentukan dan harga juga berdasarkan 22 pertunjukkan yang mereka lakukan di 22 buah negara," katanya lagi. 

Beliau sebelum itu ditanya mengenai dakwaan sesetengah pembaca di ruangan komen Malaysiakini dan juga pengguna Internet yang mengaitkan syarikat beliau dengan konsert 11 Februari untuk majlis hari terbuka Tahun Baru Cina itu.

BN semalam menjelaskan bahawa persembahan berkenaan - yang dijangka melibatkan kos lebih RM1 juta - akan ditaja sebuah syarikat swasta.

ADS