DAP bimbang rumah penduduk jadi alamat pengundi hantu

DAP Selangor mengesyaki alamat penduduk di kawasan Kuala Kubu Bharu digunakan oleh pihak tertentu untuk mendaftarkan pengundi yang disyaki sebagai pengundi hantu.

Setiausaha organisasi DAP Selangor Lau Weng San berkata, kebimbangan itu timbul memandangkan penduduk di kawasan tersebut didakwa menerima satu surat daripada BN Selangor.

NONEAnehnya, surat tersebut dialamatkan untuk individu yang tidak menetap di kediaman mereka, dakwanya.

Surat berkenaan, dakwanya, mengandungi ucapan Tahun Baru 2013 daripada BN Selangor dan turut memuatkan maklumat pengundian individu tersebut termasuk daerah mengundi, kawasan DUN dan parlimen.

"Kita khuatir alamat ini digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mendaftar pengundi-pengundi hantu.

"Ada 40 kes yang sama yang diterima sejak bulan lalu," katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat DAP Selangor di Petaling Jaya.

Beliau turut menunjukkan tiga pucuk surat yang dialamatkan kepada individu dengan nama Melayu di rumah yang dihuni penduduk Cina di Taman Pesara, Kuala Kubu Bharu.

"Kita sangsi rumah itu tidak pernah didiami oleh individu itu," kata Lau sambil menasihatkan penduduk yang menerima surat yang sama menyerahkannya kepada DAP Selangor.

NONEPerkara itu kemudiannya disahkan oleh Pegawai Perhubungan Perkampungan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kuala Kubu Bharu Chng Boon Lai bahawa penerima surat terbabit tidak pernah tinggal di kawasan berkenaan.

"Sejak rumah itu dibina pada 1980, ia didiami oleh keluarga Cina. Tidak pernah keluarga Melayu duduk dirumah tersebut.

"Kami pasti ia digunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk mendaftar sebagai pengundi di kawasan Kuala Kubu Bharu," katanya.

Sehubungan itu, Lau yang juga ADUN Kampung Tunku mendesak BN negeri itu khususnya Koordinator BN Selangor Datuk Seri Mohd Zin Mohamed tampil memberi penjelasan berhubung surat tersebut.

Lau juga berkata pihaknya akan mengumpul surat tersebut selama dua minggu sebelum membuat aduan rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negera (JPN).

Pakatan Rakyat di negeri itu antara ADUN Subang Jaya Hannah Yeoh dan ADUN Rawang Gan Pei Nei turut membangkitkan perkara yang sama pada bulan lalu.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.