Menteri pertahanan kata kajian TI berat sebelah

Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kaji selidik Transparency International (TI) yang meletakkan Malaysia dalam kategori negara berisiko rasuah dalam perbelanjaan dan operasi ketenteraan dijalankan secara berat sebelah.

NONEKatanya, hasil kaji selidik berkenaan juga merupakan persepsi oleh organisasi berkenaan yang tidak semestinya benar.

"Kita tak izinkan rasuah dan tidak izinkan perkara yang boleh jejaskan imej negara tetapi itu pandangan mereka. Tidak semestinya benar pandangan mereka.

"Negara mana yang tidak dianggap rasuah? Itu persepsi mereka. Mereka yang tentukan standard.

"Dari awal lagi dari segi kajian telah berat sebelah. Jika kita belajar tentang metodologi kaji selidik, ini adalah metodologi kaji selidik yang berat sebelah," katanya.

Kajian yang dikeluarkan TI-UK itu, seperti dilaporkan pada akhir bulan lalu, menyebut Malaysia mendapat markah D- dan setanding dengan negara seperti Bangladesh, Pakistan, China, Russia, Kazakhstan dan Jordan.

Ia merupakan kajian pertama di peringkat global yang dijalankan ke atas risiko rasuah dalam organisasi pertahanan seluruh dunia – dengan mengkategorikan negara terlibat mengikut skala markah A hingga F.

Zahid juga tidak berpuas hati kerana TI-UK tetap melaporkan persepsi sedemikian walaupun kementerian memberi komen dan jawapan sebaliknya sebelum laporan itu diterbitkan.

"Saya melihat laporan itu. Malah sebelum laporan itu dikeluarkan pun saya mendapat peluang untuk memberikan komen.

"Tetapi daripada pengalaman terdahulu, walaupun kita beri komen dan jawapan sebaliknya, tetapi mereka tetap menulis tentang apakah tanggapan mereka tentang sesebuah kementerian.

"Saya telah berbincang supaya satu kenyataan dikeluarkan untuk menyanggah apa yang ditulis mereka," katanya lagi.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.