ADUN Behrang dan dua yang lain bebas tuduhan rasuah

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Behrang  Jamaluddin Mohd Radzi dan dua yang lain kini boleh menarik nafas lega selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan pembebasan mereka daripada pertuduhan rasuah.
    
Panel tiga hakim dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif sebulat suara menolak rayuan pihak pendakwaan dan mengekalkan pembebasan mereka.
    
Md Raus berkata selepas menimbangkan hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan, mahkamah memutuskan Hakim Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dalam undang-undang semasa membuat keputusannya itu dan beliau telah memberikan alasan bagi pembebasan mereka.
    
"Tiada alasan untuk mengubah keputusan Mahkamah Tinggi," kata Md Raus yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Mohtaruddin Baki dan Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh.
    
Pihak pendakwaan merayu terhadap pembebasan Jamaluddin, 57, bekas ahli majlis daerah Perak Tengah Zul Hassan, 51, dan ahli perniagaan Fairul Azrim Ismail, 35, dan juga bekas Adun kawasan Bota Usaili Alias, 61 (bagi empat pertuduhan rasuah).
    
Panel Mahkamah Rayuan itu juga mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Usaili daripada empat pertuduhan menerima rasuah. Bagaimanapun, beliau masih belum dilepaskan daripada pertuduhan itu berikutan dia
diperintahkan Mahkamah Tinggi untuk membela diri terhadap tiga lagi pertuduhan rasuah.
    
Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Jamaluddin berkata beliau bersyukur dengan keputusan mahkamah itu.
    
Mengenai apa yang akan beliau lakukan selepas ini, katanya beliau akan terus berkhidmat kepada pengundi di kawasannya selagi Dewan Undangan Negeri Perak belum dibubarkan.
    
Katanya beliau kekal menjadi ADUN Bebas dan masih belum memutuskan sama ada untuk menyertai Barisan Nasional, dan menambah kata beliau juga perlu fikirkan sama ada untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.
    
Pada 23 April, 2010, Mahkamah Sesyen Ipoh membebaskan keempat-empat mereka dan ADUN kawasan Changkat Jering Mohd Osman Jailu tanpa dipanggil membela diri.
    
Mereka menghadapi 10 pertuduhan menerima dan meminta rasuah berhubung projek  perumahan RM180 juta di Seri Iskandar dekat Ipoh.
    
Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, di Restoran Kluang Station Cafe di Medan Istana, Bandar Ipoh Raya dan di Aquarias Restaurant & Bar, Tingkat 4, Hotel Summit, Bukit Mertajam, Pulau Pinang antara 14 hingga 19 Ogos 2008.
    
Zul dan Fairul juga menghadapi pertuduhan rasuah seks apabila mereka didakwa menerima perkhidmatan seks warga China di Apartmen Sri Sayang (Seaview Agency) di Jalan Batu Ferringhi, Pulau Pinang pada 14 Ogos 2008.
    
Individu keenam, bekas juruteknik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak Ruslan Sahat, turut dituduh tetapi meninggal dunia pada akhir 2008 dan pertuduhan terhadapnya digugurkan.
    
Mahkamah Tinggi Ipoh pada 22 April tahun lepas menolak rayuan pihak pendakwaan dan mengekalkan pembebasan Jamaluddin, Zul dan Fairul tetapi memerintahkan Osman membela diri.
    
Mahkamah Tinggi juga mengekalkan pembebasan Usaili terhadap empat pertuduhan menerima rasuah. Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi memerintahkan Usaili membela diri terhadap tiga lagi pertuduhan rasuah.
    
- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.