Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua polis negara Tan Sri Ismail Omar berkata tiga individu yang ditahan kerana disyaki "menjadi dalang utama dalam merekrut beberapa rakyat Malaysia bagi tujuan aktiviti keganasan" akan dihadapkan ke mahkamah esok.

Ismail juga mengesahkan bahawa individu berkenaan – dua orang lelaki dan seorang wanita – ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas).

Ismail ketika ditanya enggan mendedahkan identiti individu yang ditahan tersebut namun dua daripadanya dipercayai sebagai bekas tahanan ISA, Yazid Sufaat dan seorang lagi lelaki dalam operasi polis di bangunan kompleks mahkamah Jalan Duta hari ini.

Wanita berkenaan pula merupakan seorang individu berusia 40-an yang turut ditahan di Kuala Lumpur, kata Ismail lagi dalam satu sidang media petang ini.

"Mereka semua rakyat kita. Mereka ditangkap kerana terlibat dgn aktiviti yang menggalakkan keganasan dan saya percaya kita akan bawa mereka ke mahkamah untuk mendakwa mereka.

"Kita sekarang tengah berhubung dengan pejabat Peguam Negara untuk kemukakan laporan kita.

"Secara umum aktiviti mereka bersangkut-paut keganasan.

"Ada umur 20 tahun lebih, ada seorang nak dekat 50 tahun dan perempuan itu umur 40 tahun lebih. Kita akan bawa ke mahkamah. Saya rasa mahkamah Ampang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri sambutan Maulidur Rasul di Bukit Aman petang ini.

Terdahulu, peguam, Fadiah Nadwa Fikri memberitahu Malaysiakini hari ini bahawa penahanan Yazid dan Muhammad Hilmi Hasim dibuat mengikut Akta Keselamatan (Langkah-langkah Khas) kerana disyaki "mempromosi kegiatan keganasan".

ADS