Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Lihat masalah Umno-BN Perlis sebelum cakap menang besar'
Diterbitkan:  Feb 8, 2013 1:05 PM
Dikemaskini: 5:15 AM

PAS Perlis menyindir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya cermin diri terlebih dahulu dengan melihat pergolakan dalaman Umno-BN di negeri itu terlebih dahulu yang didakwa "tidak berkesudahan" sebelum meramal BN mampu menang besar pada pilihan raya umum akan datang .

NONE Timbalan Pesuruhjaya PAS 1 Perlis Mohd Anuar Tahir berkata rakyat di negeri itu sudah bosan dengan perebutan kuasa, pangkat dan kedudukan yang didakwanya di kalangan pemimpin Umno dianggapnya "tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda".

"Rasanya lebih baik Muhyidin balik jaga Putrajaya dulu sebelum sebut nak menang besar di Perlis. Di Putrajaya pun BN sudah begitu tergugat kedudukan mereka," katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.

Mohd Anuar yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat mengulas kenyataan Muhyiddin yang dilapor yakin BN mampu mencatat kemenangan besar di Perlis pada pilihan raya umum yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Menteri pelajaran itu dilapor berkata keyakinan menang semua kerusi DUN dan parlimen berdasarkan taklimat persiapan pilihan raya yang disampaikan BN Perlis kepadanya semalam dan turut menyatakan terdapat petanda sokongan rakyat yang meningkat terhadap kerajaan.

Pada pilihan raya umum 2008, BN menang semua tiga kerusi parlimen dan 13 daripada 15 kerusi DUN. Dua lagi kerusi DUN - Simpang Empat dan Sanglang - dimenangi PAS.

NONE Sehubungan itu, Mohd Anuar menganggap kenyataan Muhyiddin itu sebagai terdesak dan semata-mata untuk membangkitkan semangat penyokong demi meraih sebanyak mungkin simpati kepada parti itu.

"Beliau sendiri pun tahu bahawa rakyat Perlis sudah bersedia untuk membuat perubahan pada PRU akan datang dan dia juga tahu BN Perlis sendiri berada pada tahap kritikal. Ini dilihat bilamana beliau sendiri malahan Perdana Menteri pun acapkali turun ke Perlis.

"Kenyataan Muhyidin ini sama juga dengan kenyataan Menteri Besar Perlis yang dibuat beberapa kali sebelum ini," katanya sambil mendakwa perhimpunan yang diadakan di beberapa lokasi di negeri itu akan dihadiri oleh orang yang sama termasuk orang luar yang diarahkan hadir.

Menurut Mohd Anuar lagi, rakyat Perlis melihat kemampuan pentadbiran yang berjaya mengekang rasuah dan pembaziran serta kecekapan mengurus tadbir ekonomi, maka mereka pun mahu perubahan di negeri ini.

"Walaupun tsunami politik 2008 tak sampai ke negeri ini, tapi rakyat Perlis pun sudah sedar dan melihat keupayaan kerajaan Pakatan Rakyat yang diterajui PAS di Kedah umpamanya.

"Saya percaya bahawa ubat paling mujarab untuk Umno-BN Perlis ialah dengan menjadikan mereka parti pembangkang di negeri ini. Saya lihat mereka mempunyai potensi besar untuk menjadi pembangkang yang baik di negeri ini," sindir Mohd Anuar.

ADS