Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tahun Baru Cina disambut dalam suasana meriah, harmoni

Masyarakat Tionghoa seluruh negara menyambut Tahun Baharu Cina hari ini yang menandakan permulaan Tahun Ular dalam suasana meriah dan harmoni.

    

Suasana perayaan yang disambut dalam keadaan cuaca yang secara amnya baik disemarakkan dengan kehadiran pemimpin-pemimpin negara, tokoh-tokoh masyarakat dan lapisan masyarakat pelbagai kaum ke majlis-majlis rumah terbuka.

    

Di ibu negara, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin menyertai lebih 10,000 rakyat ke majlis rumah terbuka anjuran MCA yang diadakan di padang bola sepak di Flat Seri Johor di Cheras.

    

Turut hadir ke majlis itu dua bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi     

    

Jalan-jalan utama di ibu negara lengang berikutan warga kota mengambil kesempatan menghabiskan cuti di kampung halaman masing-masing, menjadikan perjalanan sambutan lebih lancar.

Sementara itu, aliran trafik di beberapa kawasan di lebuh raya dilaporkan sesak pagi ini.

    

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melaporkan melalui laman twitter mengenai keadaan trafik sesak di Lebuhraya Plus arah utara dari Rawang Selatan ke Tanjung Malim dan Slim River ke Sungkai pada pukul 11.16 pagi.

    

Turut dilaporkan ialah mengenai peningkatan jumlah kenderaan dari arah Ipoh ke Terowong Menora pada pukul 11.19 pagi.

    

Bagi Lebuhraya Plus menghala selatan pula, LLM melaporkan keadaan trafik sesak dari Putra Mahkota ke Seremban dan Skudai ke Kulai Jaya pada pukul 11.17 pagi.

    

LLM turut melaporkan mengenai keadaan trafik sesak di sekitar plaza Tol Gombak, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak terutama di laluan Smart Tag dan Touch 'n' Go pada pukul 11.19 pagi.

- Bernama

ADS