ANAK dakwa video tunjuk konspirasi sekat ceramah

ANAK hari ini mendedahkan video yang didakwa sebagai bukti konspirasi beberapa pihak termasuk pengurusan Felda Sungai Tengi untuk menyekat program ceramah NGO tersebut dalam kejadian pada 4 Februari lalu.
 
Presiden ANAK Mazlan Aliman mendakwa video berkenaan menunjukkan satu mesyuarat yang diadakan sebelum kejadian tersebut, bagi membincangkan usaha untuk menghalang program ceramah itu.
 
Mazlan mendakwa mesyuarat tersebut antara lainnya dihadiri wakil PERKASA, Umno, Majlis Belia Felda dan Jabatan Seranta Felda.
 
NONEBeliau mendakwa, mesyuarat tersebut dirancang untuk menggagalkan program ANAK di kawasan Felda, termasuk mengadakan "huru-hara" dan juga untuk menghalang mereka daripada memasuki kawasan tanah rancangan tersebut.
 
"Apa yang sangat memeranjatkan apabila (pegawai) Felda menyebut tentang huru-hara. Sampai ke tahap huru-hara untuk gagalkan ceramah tersebut," kata Mazlan dalam sidang media di ibu pejabat PAS hari ini.
 
"Huru-hara" yang dimaksudkan oleh pegawai Felda berkenaan, seperti yang dapat dikesan dalam video tersebut, merupakan tindakan untuk "membuat bising".

NONEIndividu yang ditunjukkan dalam video berkenaan juga mencadangkan agar "huru-hara" tersebut tidak sampai ke peringkat pergaduhan.

"... kita buat seolah-olahnya macam membantahlah, kita buat huru hara tapi jangan bergaduh saya minta sangat malam ini jangan (bergaduh).

"Seolah-olah maksud saya ini buat huru hara tu kalau dia ceramah tu kita buat bisinglah... itu yang.. Pegawai Polis Daerah Kuala Kubu Baru pesan kat saya tadi...," kata individu berkenaan yang didakwa sebagai pegawai Felda tersebut.

Rakaman video amatur sepanjang lebih 14 minit itu dikesan dimuatkan di Youtube sejak 7 Februari lalu.

Mazlan mendakwa, tindakan seperti yang dirancang itu dapat dilihat dalam kejadian yang dialami mereka pada 4 Februari lalu di Felda Sungai Tengi.
 
NONE"Satu kekesalan kepada tindakan pihak polis, sedangkan Yang Dipertua PAS kawasan telah buat laporan polis sebelum ceramah.
 
"Kita lihat daripada sekatan yang dibuat, bagaimana satu program dengan kerjasama ketua kampung, tiba-tiba ada pihak lain yang tiada autoriti buat sekatan jalan raya.
 
"Ianya dalam pengetahuan polis, dan polis tidak buat apa-apa," kata Mazlan menceritakan mengenai insiden yang berlaku pada malam 4 Februari lalu.
 
Beliau mendakwa, kumpulan pengacau terbabit turut memukul anggota Unit Amal yang mengawal keadaan semasa kejadian tersebut.
 
Beliau juga bimbang insiden seperti itu akan terus berpanjangan di kawasan yang akan dikunjungi ANAK dalam kempen pilihan raya selepas ini.

NONEBeliau mendakwa, anggota polis hanya berdiam diri semasa insiden kekecohan yang berlaku ketika kempen Kembara Oren, yang dianjurkan ANAK.

"Kita kesal apa yang menjadi sangkaan kita selama ini, macam ada pakatan awal (Felda) dengan pihak polis, seperti ada kebenaran.
 
"Jika tidak seperti ini dibiarkan, dan polis tidak mengambil tindakan untuk menghentikannya, jadi ia memberi lesen kepada samseng untuk membuat apa sahaja, bagi mengahalang program kita di kawasan Felda umumnya," katanya.
 
Sehubungan itu, Mazlan berkata pihaknya akan menghantar nota bantahan kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berhubung dakwaan penglibatan anggota polis terlibat dalam sekatan terhadap program politik ANAK.  
 
Mazlan berkata nota bantahan itu akan dihantar dalam tempoh seminggu antara lain, mohon penjelasan sama ada pasukan berkenaan terlibat untuk menyekat program ANAK seperti yang didakwa oleh pengurus Felda.
 
"Biarlah IGP berkomunikasi lanjut dengan polis Selangor dan Hulu Selangor. Harap penjelasan segera dapat diberikan," katanya.

ANAK juga akan menyerahkan bukti bergambar berhubung insiden yang menimpa mereka itu, katanya lagi.

Video 14:37 minit

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.