Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rosnah: Kenyataan Anwar tak gambar sokongan sebenar

Ketua Puteri Umno Malaysia, Datuk Rosnah Abd Rashid Shirlin yakin kenyataan pembangkang mengenai perubahan yang akan berlaku di Sabah tidak menggambarkan sokongan sebenar rakyat di peringkat bawahan.

Rosnah merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa rangka lawatannya ke Sabah, baru-baru ini.

Dalam sidang akhbar yang diadakan di Bilik Mesyuarat Bangunan Umno di Kota Kinabalu petang semalam, Rosnah berkata, kenyataan tersebut tidak akan menjejaskan peluang Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum ke-13 (PRU13) akan datang.

Sebaliknya, negeri Sabah yang sebenarnya akan membuat kejutan dengan menambah lagi kekuatan BN selepas pilihanraya nanti, bidas Rosnah yang juga timbalan menteri kesihatan.

Ahad lalu, semasa berucap di Luyang, Kota Kinabalu, Anwar dilaporkan sebagai berkata, Sabah akan menerajui peranan penting menawan Putrajaya dalam PRU13 akan datang.

Ketua umum PKR itu juga seakan-akan membayangkan beberapa kerusi parlimen seperti  Beaufort, Papar dan Tuaran sudah berada dalam genggaman pembangkang.  

Mengulas lanjut, Rosnah berkata, Anwar sebelum ini telah banyak mengeluarkan kenyataan tidak bertanggungjawab, umpamanya tarikh 16 September 2008 yang dikatakan sebagai tarikh pembangkang mengambil alih kerajaan pusat daripada BN.

Beliau menyifatkannya sebagai antara kenyataan tidak bertanggungjawab, tidak benar dan tidak menggambarkan hakikat sebenar yang berlaku di peringkat bawah.

"Sebenarnya, ini adalah politik murahan yang sering menjadi pendekatan kepada Pakatan  Rakyat, terutamanya pemimpin mereka.

"Saya tidak rasa kita BN akan terjejas atau terpengaruh dengan apa yang cuba disampaikan oleh beliau kerana inilah beliau, inilah karektor Anwar Ibrahim sebenarnya.

"Saya faham dengan pendekatan yang cuba dimainkan oleh  pembangkang ini. Mereka selalu menjadikan rakyat sebagai simbol kepada perjuangan mereka, tetapi ini tidak berlaku pada hakikat yang sebenar,” kata Rosnah.

ADS