Isu beri wang: SPRM kata tiada kuasa dakwa parti

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyatakan, tiada peruntukan undang-undang untuk mendakwa parti politik atau organisasi yang memberi wang atau hadiah semasa kempen pilihan raya.

Timbalan ketua pesuruhjaya SPRM Sutinah Sutan berkata, calon, ejen dan penyokong bagaimanapun boleh didakwa dengan tuduhan rasuah untuk tindakan sama jika dilakukan demi kepentingan calon terbabit.

Sekiranya motif memberi wang atau hadiah oleh calon, ejen atau penyokong kepada pengundi itu adalah untuk meraih kemenangan untuk parti politik tertentu, maka ia bukan satu kesalahan, katanya kepada akhbar berbahasa Cina Sin Chew Daily.

“Contohnya, jika kita mahu mendakwa Umno, adakah sejuta anggotanya tampil sebagai plaintif di mahkamah?," katanya.

Beliau juga berkata, pengumuman peruntukan kerajaan oleh perdana menteri semasa kempen pilihan raya dianggap sebagai usaha untuk "membantu semua rakyat" dan tidak dilihat sebagai rasuah atau penyalahgunaan kuasa.

Jelasnya, pengumuman seperti itu mungkin menyebabkan pengundi menyokong parti yang berkuasa, namun perdana menteri tidak akan mendapat keuntungan peribadi, katanya.

Beliau memberi amaran bahawa pengagihan peruntuhan yang bertujuan untuk meraih sokongan peribadi bercanggah dengan Seksyan 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Malah, perbuatan memberi makanan kepada pengundi juga tertakluk kepada interpretasi peruntukan tersebut, malah pengundi juga boleh didakwa dengan tuduhan rasuah.

Ketika ditanya, Sutinah juga berkata SPRM tiada rancangan untuk meminda undang-undang tersebut bagi memasukkan parti politik dalam ruang lintup pendakwaan tersebut.

[Baca berita penuh]

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.