Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ketua Polis Daerah Pekan Superitendan Yahaya Othman menasihatkan Gerakan Mahasiswa PRU13 (GM13) supaya berjumpa dengan ketua kampung terlebih dahulu sebelum mengedar 'Surat Mahasiswa' kepada penduduk di kawasan Pekan.

Beliau berkata tindakan tersebut bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini sewaktu mereka berbuat demikian di kawasan parlimen itu - yang diwakili Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

NONE Katanya, pihak polis memantau keadaan tersebut dan menasihatkan mahasiswa berkenaan supaya memahami keadaan penduduk setempat dan berjumpa ketua kampung dahulu untuk mengelakkan perkara tidak diingini.

"Pihak polis ada menerima laporan (polis) yang dibuat dan (kini) dalam siasatan," katanya dalam kiriman SMS kepada Malaysiakini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan insiden ugutan dan kekasaran terhadap mahasiswa yang kini sedang mengadakan jelajah parlimen Pekan untuk mengedarkan Surat Mahasiswa selepas mengumumkan untuk meletakkan calon mereka di situ.

Dilaporkan setakat ini dua insiden berlaku di dua lokasi berasingan pada semalam dan Isnin lalu termasuk dakwaan ugutan dengan berparang yang diterima oleh mahasiswa tersebut.

Surat itu yang diperolehi Malaysiakini, antara lain menyatakan mereka nekad untuk menjadikan pilihan raya umum itu sebagai "masa untuk BN bermuhasabah atas segala pelakuan semasa menjadi kerajaan Malaysia" serta mendesak rakyat membuat perubahan dengan memilih parti selain BN memimpin kerajaan baru.

Sementara itu, Pengerusi GM13 Syis Kadir berkata pihaknya ada memaklumkan mengenai hasrat mengedarkan surat itu kepada ketua Kampung Dato' Keramat, Mukim Ganchong pada hari pertama kehadiran mereka.

Bagaimanapun, katanya, mereka tidak memaklumkan hasrat mereka itu sewaktu ingin mengedarkan surat tersebut di Felda Cini 4 semalam.

Syis sebaliknya mendakwa telah memaklumkan mengenai aktiviti mereka itu kepada polis pada malam sebelum insiden ugutan dengan parang berlaku.

 

ADS