Bab khas wanita, keluarga dalam manifesto BN

Barisan Nasional (BN) akan memasukkan satu bab khas, khusus untuk pembangunan wanita dan keluarga dalam manifesto parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.
    
Ketua Wanita BN Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata perkara itu telah dipersetujui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang amat mementingkan pembangunan wanita dan keluarga di negara ini.
    
"Kita amat gembira sekali, kita minta kepada Datuk Seri Najib dan beliau setuju kerana pada beliau dan BN, pembangunan wanita dan keluarga amat mustahak.
    
"Wanita bukan hanya separuh daripada pengundi, wanita juga menjadi rakan kongsi dengan kaum bapa dalam pembangunan negara," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco Wanita Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
    
Mengenai dakwaan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika kunjungannya ke Sabah baru-baru ini bahawa BN tidak mendapat sokongan rakyat di Semenanjung, Shahrizat yang juga Ketua Wanita Umno berkata ia suatu pembohongan dan fitnah pembangkang.
    
"Jentera Wanita telah turun padang dan (pergi) rumah ke rumah untuk melakukan kiraan pengundi dan melalui maklum balas yang kita terima, sokongan kepada perdana menteri dan BN semakin melonjak. Jangan dengar pembohongan pembangkang," katanya.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.