'Pakatan laksana tuntutan Hindraf dalam masa 100 hari di Putrajaya'

Pakatan Rakyat akan melaksanakan rancangan lima tahun Hindraf untuk mengatasi masalah kemiskinan masyarakat India dalam masa 100 hari pentadbirannya di Putrajaya.

NONE"Saya telah nyatakan kita akan bincang dan selesaikan (pelan lima tahun itu) dalam masa 100 hari di Putrajaya.

"Ini bermakna, kita telah bersetuju dengan pelan tindakan itu," kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada satu majlis dialog bersama editor akhbar-akhbar Tamil di Shah Alam malam tadi.

Beliau berkata demikian sewaktu menjawab soalan editor Semparuthi.com, Jiwi Kathaiah (bawah) yang ingin tahu jika Pakatan bersetuju dengan tuntutan-tuntutan Hindraf.

Hindraf sebelum ini mendakwa Pakatan Rakyat melengah-lengahkan persetujuan mereka terhadap pelan tindakan itu walaupun siri perbincangan telah berlangsung sejak November 2012.

NONEMereka turut mengancam akan menarik kembali sokongan Hindraf terhadap Pakatan jika Pakatan terus berlengah dan tiada kemajuan dalam perbincangan tersebut.

Anwar bagaimanapun menegaskan, Hindraf tidak perlu mendesak Pakatan Rakyat untuk menandatangani pelan tindakan itu.

Beliau sebaliknya menggesa mereka meneliti agenda-agenda masyarakat India yang selama ini didukung Pakatan Rakyat kerana dokumen polisi Buku Jingga sendiri secara tidak langsung telah mengangkat semangat pelan tindakan itu.

"Kami telah membaca pelan tindakan anda. Bolehkah anda juga turut membaca pelan tindakan kami (Buku Jingga)?

"Untuk bersikap adil, anda juga perlu mengiktiraf semua (isu orang India) yang telah Pakatan dukung," tegas Anwar.

Menurutnya, pemimpin Pakatan selama ini tekal memperjuangkan isu-isu seperti kewarganegaraan, kematian dalam tahanan serta bantuan kepada sekolah jenis kebangsaan Tamil.

NONE"Lihat sahaja kes Kugan (yang mati dalam tahanan pada tahun 2009), ia tak akan jadi isu nasional jika kita tidak menyuarakannya. Saya sendiri minta pemimpin DAP dan PAS bersama saya melawat rumah Kugan," katanya.

Majlis yang berlangsung selama dua jam itu turut dihadiri editor Thiru Kural, Massal Okai, Tamil Nesan dan Malaysia Nanban.

Turut hadir adalah Exco Selangor, Dr Xavier Jayakumar; Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa; Ahli Parlimen Teluk Intan M Manoharan dan ahli Dewan Undangan Negeri Port Dickson, M Ravi.

1. Isu sokongan: Hindraf beri amaran pada Pakatan

2. K'jaan tarik balik pengharaman Hindraf

3. Hindraf mahu ketuai kementerian hal ehwal minoriti

4. MIC: Hindraf tidak perlu letak syarat jumpa PM

5. Hindraf akan umum pelan tangani golongan miskin India

 

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.