Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Meningkatkan kualiti kereta nasional dan membetulkan salah faham sebelum ini akan menjadi pemacu utama cadangan pelan pemulihan yang disediakan untuk Proton Holdings Bhd, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

    

Beliau berkata pelan itu yang dijadual diumumkan bulan depan, bertujuan menyediakan penyelesaian jangka pendek dan jangka sederhana untuk meningkatkan imej pembuat kereta nasional itu, di samping mewujudkan ruang jualan baharu dan aliran pendapatan bagi Proton.

    

Pelan pemulihan itu juga akan menyaksikan Proton memberi lebih perhatian kepada pasaran eksportnya memandangkan pengeluar kereta itu kini sedar bahawa pasaran automotif domestik telah 'semakin sesak' tahun demi tahun, kata Dr Mahathir, yang juga Penasihat Proton, kepada Bernama dalam satu temu bual.

    

Mengakui bahawa kualiti yang lebih baik disertai dengan harga yang lebih tinggi, Dr Mahathir berkata Proton berada pada peringkat yang penting kerana ia perlu menghasilkan kereta yang berdaya saing di peringkat global untuk bersaing dengan syarikat-syarikat kereta asing yang membentuk sebahagian besar daripada jumlah keluaran industri automotif Malaysia.

    

"Kita tidak boleh sentiasa mengeluarkan kereta murah. Jika itu berlaku, kita akan kehilangan keyakinan rakyat Malaysia kerana adalah menjadi pandangan umum bahawa kereta murah tidak datang dengan kualiti," katanya.

Dr Mahathir yang menyatakan keyakinan terhadap pemilik baru Proton, DRB-Hicom Bhd, berkata konglomerat itu komited untuk meningkatkan imej syarikat kereta nasional itu daripada hanya sebuah syarikat tempatan kepada pembuat kereta global dan dihormati.

    

Dr Mahathir berkata mentaliti rakyat Malaysia bahawa kereta tempatan berkualiti lebih rendah apabila dibandingkan dengan kereta buatan asing mesti berubah.

    

"Rakyat Malaysia perlu memahami bahawa Malaysia bukanlah satu-satunya pasaran bagi pembuat kereta asing, yang berbeza dengan Proton. Proton lebih bergantung kepada pasaran dalam negeri.

    

"Kos overhed pengeluar kereta asing sangat rendah. Apa yang mereka raih di sini (di Malaysia) kebanyakannya dianggap sebagai keuntungan.

    

"Itulah sebabnya mengapa syarikat-syarikat ini mampu menawarkan diskaun sehingga RM10,000 semasa musim perayaan, yang menyebabkan penduduk tempatan memilih kereta luar dan bukannya kereta nasional," katanya.

    

Prihatin tentang pasaran domestik yang 'penuh sesak', Dr Mahathir berkata Proton mempunyai rancangan konkrit untuk melaksanakan strategi eksportnya dalam usaha untuk meraih pendapatan lebih tinggi untuk pembuat kereta nasional melalui aliran pendapatan yang dipertingkat.

    

Jumlah keseluruhan industri (TIV) mencatatkan jualan 627,753 kenderaan baharu tahun lepas dengan jumlah itu dijangka melonjak kepada 640,000 tahun ini.    

Proton dan Perodua menyumbang lebih sedikit daripada 50 peratus daripada TIV manakala model asing selebihnya.

    

Proton, hasil ilham Dr Mahathir, ditubuhkan pada Mei 1983.

    

Awal tahun lepas, DRB-Hicom membeli pegangan 42.7 peratus dalam Proton pada RM1.29 bilion daripada cabang pelaburan kerajaan, Khazanah Nasional Bhd, dan seterusnya menjadikan pembuat kereta nasional itu persendirian.

    

Sebelum pengambilalihan berkenaan, Proton telahpun melaksanakan pelan pemulihan. Bagaimanapun, dengan pemegang saham baharu dan pasukan pengurusan atasan yang baharu, rancangan itu diteliti semula.

- Bernama

    

ADS