Tunku Aziz: Kerjasama PAS, DAP umpama 'perkahwinan yang musnah'

Bekas Naib Pengerusi DAP Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim menyifatkan kerjasama antara PAS dan DAP umpama 'sebuah perkahwinan yang gagal' dan hanya sebuah hubungan untuk mencapai cita-cita politik.
    
"Hubungan mereka benar-benar tidak berdaya maju tetapi kerana pilihan raya, mereka main wayang kulit sahaja yang kononnya DAP dan Pas boleh bekerjasama," katanya kepada pemberita pada pelancaran Gerakan Aktivis Sahabat Sayangi Malaysia di Sepang semalam.
    
NONEBeliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi Kebangsaan DAP Karpal Singh yang mendakwa hubungan kedua-dua parti pembangkang masih utuh.
    
Tunku Abdul Aziz berkata jika benar utuh, mengapa sering ada masalah dan isu seperti hudud, serta siapa akan menjadi perdana menteri yang acapkali menjadi pertelagahan kedua-dua parti.
    
"Politik yang dimain mereka amat bahaya, jadi rakyat perlu fikir dengan betul-betul untuk menyerahkan kerajaan kepada orang seperti mereka," katanya.

Justeru, beliau yakin Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang cerah untuk menang pilihan raya akan datang kerana politik BN adalah politik menyatukan bukan memecahbelahkan rakyat.
    
"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah bekerja keras dan bukan sekadar mendengar keluhan rakyat, malah melaksanakannya," katanya.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.