Anwar tak kisah terjumpa Najib di majlis CNY Dong Zong

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tiada masalah jika terjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak  di majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina Dong Zong esok

Anwar berkata, beliau telah dijemput dan akan menghadirinya.

"Saya dijemput. Saya akan pergi. Saya tak ada masalah dengan itu (Najib)," katanya dalam sidang media selepas menghadiri majlis rumah terbuka Parlimen Batu di Kepong hari ini.

Sebelum ini, Najib telah menerima jemputan Dong Zong untuk menghadiri majlis rumah terbuka pertubuhan pendidik Cina itu.

Perdana menteri telah mengesahkan kehadirannya melalui sepucuk surat yang diterima oleh Dong Zong dari Pejabat Perdana Menteri.

Selain itu, ketika Anwar ditanya berhubung kemungkinan Najib akan mengumumkan tentang United Examaniation Certificate (UEC) dan meluluskan empat sekolah cina persendirian yang baru, Anwar berkata, perkara itu telah berada di dalam buku Jingga.

Beliau berkata, perkara itu telah dibincang dan disepakati oleh Pakatan Rakyat tiga tahun lalu.

"Benda itu kami dalam Pakatan Rakyat telah bersetuju dan letakkan di dalam buku Jingga tiga tahun lalu. Dan dia (Najib) baru nak umumkan sebulan sebelum pilihan raya," kata Anwar lagi.
 

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.