Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

dikemaskini Setiausaha organisasi DAP Anthony Loke berkata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berbohong apabila mendakwa parti itu masih gagal menghantar penyata tahunannya ke pendaftar pertubuhan (ROS).

Walhal, DAP telahpun menghantar penyata tahunan bagi tahun 2012 ke ROS di Putrajaya pada 8 Februari lalu, katanya.

"Saya bersama pegawai saya telah menghantar pernyata tahunan dan ada bukti kerana 'cover letter' (surat pendahuluan) ini telah dicop dan ditandatangani oleh ROS sendiri.

"Bagi saya Hishamuddin telah berbohong dan dia perlu mohon maaf pada DAP secara terbuka. Dia sebagai menteri tak ada profesionalisme," katanya dalam sidang media di ibu pejabat DAP hari ini.

Loke berkata, penyata tahunan itu juga disertakan dengan dua salinan minit mesyuarat agung, dua salinan "Borang 9" dan salinan penyata kira-kira parti yang untuk akaun berakhir 31 Disember 2012.

Tambahnya, mereka turut mengemukakan senarai nama ahli jawatankuasa tertinggi pusat bagi tahun 2012 hingga 2015 yang baru dilantik.

Sehubungan itu, Anthony berkata, beliau kini tidak yakin dengan siasatan ROS yang tidak dapat memastikan dokumen tersebut.

Katanya, ia kesilapan yang berlaku bukan melibatkan satu cawangan parti yang kecil tetapi merupakan sebuah parti politik.

"Kita hantar tapi kata kita tak hantar. Kita sengaja hantar awal sebelum tahun baru Cina.

"Jadi saya nak tanya, adakah ini konspirasi Hisham dan ROS untuk batalkan pendaftaran DAP sebagai parti politik dengan alasan teknikal ini?

"Bagaimana pegawai boleh beri maklumat salah pada menteri? Bagaimana kita nak ada kepercayaan pada ROS?," kata Loke lagi.

Hishammuddin semalam menggesa ROS memulakan siasatan terhadap DAP yang didakwa masih gagal mengemukakan laporan kepada badan itu sehingga 15 Februari.

DAP sepatutnya menyerahkan laporan tersebut dalam tempoh 60 hari pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) 12 Disember lalu, namun didapati tidak berbuat demikian sehingga tempoh berkenaan berakhir pada 15 Februari, katanya seperti dipetik dalam laporan Bernama .

"Kita tunggu tempoh ia berlalu, semalam dah sampai masanya. ROS akan ambil tindakan yang sewajarnya," katanya dalam laporan itu.

Sementara itu, laporan The Star Online pula menyebut ROS mengesahkan bahawa jabatan itu menerima laporan DAP tersebut pada 8 Februari.

Ketua pengarah ROS Datuk Abdul Rahman Othman dalam laporan itu berkata, kenyataan awalnya adalah berdasarkan maklumat yang tidak dikemaskini dan menimbulkan kekeliruan.

"ROS meminta maaf kepada semua pihak terlibat atas kesilapan ini," katanya yang menambah siasatan ke atas pemilihan CEC DAP, itu akan diselesaikan secepat mungkin.

DAP sebelum ini mengakui berlaku kesilapan dalam pengiraan undi semalam pemilihan CEC DAP pada 12 Disember lalu.

ADS