KWSP umum dividen 6.15 peratus

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan kadar dividen 6.15 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2012.

Pengerusinya Tan Sri Samsudin Osman dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur berkata kadar tersebut adalah 15 mata asas lebih tinggi berbanding kadar 6 peratus yang dibayar pada tahun 2011.

"Ia juga mencatatkan rekod baharu berjumlah RM27.45 bilion yang diagihkan kepada anggota KWSP, meningkat 12.20 peratus daripada RM24.47 bilion yang dibayar pada tahun sebelumnya.

"Pada 2012 juga KWSP mencatatkan pendapatan pelaburan kasar tertinggi sebanyak RM31.02 bilion meningkat 13.91 peratus berbanding 2011," katanya.

Menurut beliau pembayaran dividen tertinggi ini diperoleh setelah ditolak perbelanjaan pelaburan operasi, caj berkanun serta peruntukan rugi terjejas bersih ke atas aset kewangan.

Katanya walaupun persekitaran pelaburan semakin kompleks, KWSP mengekalkan momentum kenaikan yang stabil untuk merekodkan keputusan paling kukuh sejak awal milenium, disokong keberkesanan strategi pelaburan jangka panjang serta pendekatan berdisiplin dan berhemah.

Selain itu, beliau berkata selaras dengan Alokasi Aset Strategik (AAA) yang diamalkan KWSP, sebahagian besar aset pelaburan KWSP terus dilaburkan dalam instrumen berpendapatan tetap berisiko rendah dan stabil.

Pelaburan ekuiti adalah 38.77 peratus daripada jumlah aset pelaburan pada 2012, manakala baki 3.59 peratus dan 2.42 peratus masing-masing diperuntukkan untuk instrumen pasaran wang dan hartanah dan infrastruktur, tambahnya.

"Walaupun KWSP melabur dalam pelbagai pelaburan, sebahagian besarnya dilaburkan dalam instrumen berpendapatan tetap berisiko rendah, kadar pulangan pelaburan tahunan (ROI) KWSP melebihi enam peratus bagi tiga tahun berturut-turut.

"Ekuiti menjana ROI dua digit sebanyak 10.06 peratus manakala pulangan daripada instrumen berpendapatan tetap melebihi 5.50 peratus di sebalik suasana kadar faedah rendah semasa," katanya.

Katanya berikutan beberapa transaksi sekali bayaran (one-off) pasaran modal pada 2012, pendapatan daripada pinjaman dan bon menunjukkan peningkatan tertinggi berbanding 2011.

Pelaburan dalam kelas aset ini menyumbang RM9.68 bilion kepada pendapatan pelaburan kasar, naik 33.62 peratus atau RM2.44 bilion berbanding 2011.

Selaras dengan kadar faedah yang rendah, Samsudin berkata KWSP beransur-ansur mengurangkan pendedahannya dalam aset berpendapatan tetap konvensional dan mengalihkan aset yang telah matang kepada aset yang menghasilkan pulangan lebih tinggi seperti ekuiti dan hartanah dalam had risiko yang boleh diterima.

Bersandarkan pertumbuhan stabil dalam kedua-dua pasaran ekuiti domestik dan global pada 2012, ekuiti menyumbang RM13.91 bilion pendapatan bersamaan 44.84 peratus pendapatan pelaburan kasar, katanya.

Bagi pelaburan dalam sekuriti kerajaan Malaysia dan bon sama taraf; hartanah dan infrastruktur; serta instrumen pasaran wang pula, masing-masing memperoleh RM6.26 bilion, RM595.63 juta dan RM574.91 juta.

Menurut Samsudin aset pelaburan KWSP setakat 31 Dis 2012 berjumlah RM526.75 bilion, melepasi setengah trilion serta meningkat 12.31 peratus daripada RM469.04 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Peningkatan itu sebahagian besarnya disumbangkan caruman tahunan bersih pencarum dan majikan serta prestasi pelaburan yang konsisten dan menggalakkan dalam semua kelas aset, katanya.

Dengan peningkatan jumlah keahlian, KWSP memerlukan RM4.46 bilion untuk membayar setiap satu peratus kadar dividen bagi 2012, peningkatan 9.34 peratus daripada RM4.08 bilion yang dibayar untuk setiap satu peratus kadar dividen pada 2011.

Antara urus niaga utama pada 2012 ialah perluasan pelaburan hartanah KWSP dalam dan luar negara termasuk projek Battersea Power Station di London dan memuktamadkan pembelian 932 hektar tanah Institut Penyelidikan Getah di Sungai Buloh dengan haga RM2.28 bilion untuk membangunkan sebuah kawasan perbandaran baharu.

Sejajar dengan strategi diversifikasi untuk mengoptimumkan pulangan jangka panjang kepada pencarum, jumlah pendedahan KWSP di luar negara setakat 31 Dis 2012 ialah 15.7 peratus daripada jumlah aset pelaburan, menurut kenyataan itu.

Pada 2012, tambahan US$7.1 bilion pelaburan telah dibuat dalam ekuiti global, bon global dan hartanah.

Samsudin berkata dalam menguruskan dana berjumlah lebih setengah trilion ringgit, KWSP berdepan cabaran besar untuk terus memberi pulangan kukuh di tengah-tengah persekitaran kadar faedah yang rendah, ketidaktentuan berterusan ekonomi global serta kekangan dalam pasaran modal domestik.

"Bagaimanapun, sebagai dana persaraan, KWSP akan terus berpandukan objektif pelaburan jangka panjang dan strategi pelaburan berhemah bagi memastikan kemampanan dan pulangan konsisten untuk kesejahteraan persaraan anggotanya.

Pencarum KWSP boleh mendapatkan penyata kira-kira masing-masing bagi menyemak pengkreditan dividen 2012 sama ada di kios KWSP, kaunter atau i-Akaun mulai esok.

Pencarum berumur 55 tahun dan ke atas pula boleh mengeluarkan dividen tahunan yang telah dikreditkan ke dalam akaun mereka yang menjadi antara pilihan bayaran di bawah skim Pengeluaran Umur 55 tahun.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.