Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lelaki disyaki tangkap ikan guna kejutan elektrik ditahan

Bahagian Penguatkuasa Jabatan Perikanan menahan tiga lelaki disyaki menangkap ikan menggunakan alat kejutan elektrik di Sungai Lebir di Gua Musang, dalam operasi membanteras kegiatan menangkap ikan sungai secara haram, semalam.

Ketua Cawangan Operasi Ibu Pejabat Jabatan Perikanan, Abdullah Jaafar berkata ketiga-tiga lelaki tempatan berumur antara 25 dan 28 tahun itu ditangkap dalam operasi yang dijalankan pasukan itu pada kira-kira pukul 4 petang.

Beliau berkata, pihaknya menggunakan dua bot menyusuri sungai itu bermula di Kampung Pasir Linggi di Gua Musang, sebelum terserempak dengan sebuah sampan dinaiki tiga lelaki sedang menangkap ikan menggunakan kejutan elektrik.

Mereka terkejut melihat kehadiran pihak penguatkuasa tetapi tidak sempat melarikan diri apabila dikepung anggota penguatkuasa.

"Semasa itu mungkin mereka baru sahaja memulakan aktiviti berkenaan kerana hasil tangapan ikan belum diperoleh," katanya kepada pemberita di Balai Polis Paloh di Gua Musang, hari ini.

Turut sama dalam operasi itu Ketua Penguatkuasa Jabatan Perikanan Kelantan, Shahimi Ali dan Ketua Daerah Perikanan Gua Musang, Azhar Kamarulzaman.

Abdullah berkata turut dirampas sebuah perahu, enjin bot galah, generator elektrik, alat pengaliran elektrik yang dicipta khas dan penyauk ikan.

"Tangkapan tiga lelaki itu bersama peralatan yang digunakan untuk tujuan terbabit adalah yang terbesar awal tahun ini," katanya.

Beliau berkata pihaknya akan terus membuat pemantauan di beberapa sungai di Hulu Kelantan yang menjadi tumpuan kegiatan penangkapan ikan secara haram dan berbahaya itu.

Mereka yang ditahan itu disiasat di bawah Kaedah 3(2) Kaedah Perikanan (Sungai) Negeri Kelantan dan boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, atau boleh dikompaun sebanyak RM500 seorang, jika sabit kesalahan.

- Bernama

ADS