Lori, kereta tersadai akibat banjir kilat di Puchong

Penyelia Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Puchong Haswan Wasir berkata satu banjir kilat berlaku di kawasan kompleks membeli belah IOI dan juga turut menenggelamkan sebahagian Lebuh Raya Damansara-Puchong.

Katanya, air naik sehingga 1.5 meter di kawasan persimpangan Bandar Puteri kira-kira jam 5.30 petang tadi yang menyebabkan sebuah bas, dua buah lori dan dua buah kereta mengalami kerosakan.

"Bagaimanapun saya tidak pasti ke dalaman air yang naik di IOI mall kerana tidak mendapat maklumat. Saya juga tidak dapat memastikan jumlah kerosakan di IOI Mall," katanya yang menambah, banjir berkenan surut kira-kira sejam kemudian.

puchong ldp flood 180213 01Sementara itu, NGO pro-Umno Gerakan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) menyalahkan pentadbiran Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim yang didakwanya tidak menyelenggara saliran longkang, parit dan sungai dengan baik sehingga menyebabkan banjir tersebut.

"Banjir yang melanda IOI puchong pada petang ini adalah sudah dijangkakan. Banjir yang sama pernah menyerang Klang beberapa kali dalam tahun lalu. Banjir yang sama juga pernah melanda Kajang tahun lalu," kata presidennya Hamidzun Khairuddin.

Beliau mendakwa bantuan kerajaan pusat lebih RM350 juta setahun dari peruntukkan Geran Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) kepada kerajaan Selangor tetapi "kelekaan Menteri Besar bermain politik setiap hari menjadinya lena dalam buaian politiking yang tak berkesudahan".

Hamidzun mendakwa peruntukan yang sepatutnya dibelanjakan untuk baiki jalan, selenggara parit, longkang dan sungai dibazirkan kepada projek Merakyatkan Ekonomi Selangor yang didakwanya menguntungkan kroni politik PKR, DAP dan PAS.

"Air hak rakyat seperti yang dilaungkan setiap hari oleh MB, adalah air banjir juga milik rakyat ? Mohon MB memberikan jawapan yang pasti," katanya.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.