NGO mahu bekas elit tentera Orang Asli diberi bantuan

Badan Bertindak Orang Asli Selangor menuntut kerajaan menyalurkan bantuan kepada bekas anggota pasukan elit tentera dari kumpulan masyarakat tersebut yang berkhidmat sebagai penjejak semasa perang menentang komunis bersenjata.

Pengerusi NGO tersebut Simpan Suda berkata ratusan bekas anggota pasukan khas Senoi Praaq itu kini hidup tanpa pembelaan daripada kerajaan dan tidak menerima apa-apa bantuan.

"Mereka ini ada yang tempang (akibat perang) dan pelbagai lagi. Selepas berhenti (daripada perkhidmatan) tak ada pun pembelaan daripada kerajaan.

"Kerajaan bayar RM1,000 kepada bekas askar tanpa pencen dan juga kepada balu, tapi Orang Asli ini tidak dapat apa-apa.

"Mereka (bekas anggota Senoi Praaq) tak kata apa pun bila orang tak kena mengena dapat seribu dua ribu. Sepatutnya mereka ini juga terima (bantuan)," katanya lagi ketika dihubungi semalam.

Katanya, satu batalion anggota berkenaan sebelum ini ditugaskan di kawasan Gerik manakala satu lagi di kawasan Bidor yang menjadi kawasan hitam semasa darurat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Belanjawan 2013 mengumumkan bantuan sebanyak RM1,000 untuk menghargai bekas tentera yang bersara awal kerana berkhidmat kurang 21 tahun.

Kos bantuan untuk 224,000 orang pesara tentera itu akan ditanggung bersama oleh kerajaan dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula awal bulan ini mengumumkan bahawa bantuan berkenaan mungkin dipertimbang untuk dibayar secara tahunan sekiranya BN mendapat mandat sekali lagi dalam pilihan raya umum akan datang.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.