Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lahad Datu: 'Polis belajar dari Sauk, Memali' - Fauzi

Polis mungkin mengambil strategi berunding dengan kumpulan bersenjata dari Sulu di Lahad Datu kerana pasukan keselamatan itu sudah belajar daripada peristiwa berdarah di Bukit Jenalik, Sauk dan peristiwa Memali, kata bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Fauzi Shaari.

Beliau percaya ia adalah 'pendekatan berdasarkan situasi' yang turut mengambil kira hubungan diplomatik Malaysia dan Filipina.

"Saya percaya ada sebab munasabah yang menyebabkan mereka (polis) membuat pertimbangan ini.

NONE "Melalui pendekatan ini, saya percaya mereka tidak mahu berlebih-lebih kerana dahulu sudah ada peristiwa Memali dan Sauk," katanya yang bertugas sebagai pengarah JSJ dari awal 2005 sehingga September 2006.

Tambahnya,  beliau juga yakin polis mahu perkara ini diselesaikan tanpa sebarang pertumpahan darah walaupun sebagai sebuah negara berdaulat Malaysia boleh bertindak keras terhadap mereka yang dianggap sebagai penceroboh.

"Saya percaya mereka (polis) mahu selesaikan perkara ini secara elok," tambahnya yang kini aktif berceramah di pentas politik sebagai ahli PAS.

Pada 9 Februari lalu, sekumpulan kira-kira 100 pengikut seorang sultan di Filipina, mendarat di perairan Lahad Datu.

Mereka berbuat demikian kerana mendakwa Sabah "dipajak" kepada kerajaan Malaysia.

Akhbar Daily Express dari Sabah melaporkan kumpulan itu tiba pada jam 2 pagi Selasa lalu dengan membawa panji berlambang harimau dan mempunyai lima anggota wanita tanpa senjata.

Kumpulan itu juga dilaporkan meyakinkan penduduk Kampung Tanduo yang diduduki mereka bahawa mereka datang dengan aman dan mahu memuktamadkan satu perjanjian.

ADS