Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Abu Seman: GTP2 tangkis persepsi isu keselamatan

Langkah mengurangkan kadar jenayah di bawah Program Tranformasi Kerajaan(GTP) 2 yang dilaksanakan mulai tahun ini akan menangkis persepsi negatif masyarakat terhadap tahap keselamatan di dalam negara.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata GTP 2 merupakan kesinambungan daripada GTP 1 yang dilaksanakan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi mengurangkan jenayah.

Abu Seman berkata pengurangan indeks jenayah di bawah GTP 1 pada tahun lalu, berjaya melepasi sasaran iaitu 7.6 peratus berbanding sasaran 5 peratus manakala pengurangan jenayah jalanan sebanyak 41.3 peratus pula menghampiri sasaran 45 peratus.

"Daripada segi angka, penurunan ini membuktikan bahawa kita berjaya merealisasikan matlamat untuk mengurangkan kadar jenayah, bagaimanapun timbul persepsi yang mengatakan jenayah tidak berkurangan dan keadaan (dalam negara) kononnya tidak selamat.

"GTP 2 akan memfokus kepada usaha mengurangkan kejadian pecah masuk rumah, mencegah kecurian kenderaan, memulihkan banduan di penjara supaya residivis (kembali melakukan jenayah) dalam kalangan bekas banduan kurang daripada 20 peratus dapat dicapai, serta memulihkan penagih dadah agar tidak kembali kepada tabiat lama," katanya pada sidang media selepas pelancaran Kempen 1Aman peringkat negeri di Sungai Lalang di Sungai Petani semalam.

Abu Seman berkata menerusi GTP 2 yang bermula tahun ini sehingga 2015, Kedah dan Perak dijadikan sebagai negeri 'hotspot'.

"Bagaimanapun, ia bukanlah bermaksud kedua-dua negeri ini mempunyai indeks jenayah yang tinggi sebaliknya kerajaan ingin memperluaskan kejayaan mengurangkan jenayah, demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat di negeri-negeri ini.

"Sasaran NKRA mengurangkan jenayah yang ditetapkan pada tahun ini ialah pengurangan indeks jenayah sebanyak lima peratus, meningkatkan persepsi keselamatan (60 peratus), mengurangkan kejadian pecah rumah (lima peratus), meningkatkan pendakwaan kertas siasatan yang dibuka (35 peratus), dan meningkatkan kepuasan rakyat terhadap perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (80 peratus)," katanya.

Sementara itu, Abu Seman berkata GTP 2 akan turut memberi tumpuan terhadap kerjasama antara pasukan keselamatan seperti polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), serta masyarakat setempat.

Katanya kerajaan juga akan menambah anggota keselamatan dan pada masa yang sama turut melibatkan masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk melakukan rondaan di kawasan kediaman masing-masing.

"Kita percaya, dengan wujudnya keakraban antara anggota keselamatan dan masyarakat, ia boleh memberi satu kesan positif, malah dengan kehadiran anggota polis di merata-rata tempat, penjenayah akan berfikir dua kali sebelum melakukan jenayah," katanya.

- Bernama

ADS