Aktivis bimbang polis sekat perarakan Tambunan-Penampang

Kumpulan aktivis yang merancang untuk mengadakan perarakan tiga hari bagi menuntut pilihan raya bebas dan adil di Sabah pada hujung minggu ini berkata acara itu akan tetap diteruskan jika polis mengadakan sekatan.

Aktivis, Anne Lasimbang berkata mereka bimbang sekiranya polis akan menganggap acara tersebut, yang turut membawa isu alam sekitar dan pengiktirafan hak Orang Asal, sebagai perhimpunan haram walaupun selepas mereka mematuhi syarat yang ditetapkan.

NONEPengarah eksekutif NGO Partners in Community Organizations (Pacos) itu berkata, mereka sudahpun memaklumkan rancangan tersebut kepada pihak berkuasa, yang meminta agar penganjur memohon permit bagi perarakan meliputi kawasan tumpuan utama negeri tersebut.

"Sama ada dapat atau tidak (permit) saya buat juga perarakan ini. Tak peduli. Tetapi polis ada bilang yang mungkin kalau tiada apa-apa masalah akan benarkan (perarakan).

"Tapi mungkin akan ada sekatan jalan raya dan mungkin polis akan cakap perarakan ini perarakan haram.

"Tapi kita akan teruskan juga kerana polis sekarang mereka tak kata apa-apa kerana kita tahu polis akan tiba-tiba cakap ini adalah perarakan haram," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

NONEKatanya, polis dari balai Keningau dan Penampang meminta agar penganjur mengisi borang untuk memohon permit bagi perarakan yang dijadualkan bermula di Tambunan pada hari Jumaat.

"Kita sudah maklumkan kepada polis tentang perarakan ini. Dan kelmarin (Selasa) polis telefon untuk minta kita isi borang permohonan permit untuk perarakan.

"Kerana polis kata perarakan ini bukan berarakan biasa dan ada tujuan jadi mereka suruh minta permit.

"Kita sudah isi borang dan faks kepada polis kelmarin (Selasa) juga," katanya lagi.

Bahan publisiti acara itu menyebut, acara jalan kaki yang dianggarkan meliputi jarak sejauh 60 kilometer merentasi banjaran Crocker itu dijadualkan berakhir di Dewan Pagansakan, Penampang pada hari Ahad.

Anne berkata, setakat ini seramai 20 orang sudah menyatakan persetujuan untuk mengikuti acara yang digelar 'Tak Berdiam Lagi - Bangkit & Jalan' itu.

Katanya, mereka mengalu-alukan penyertaan daripada kelompok BN dan Pakatan Rakyat, namun hanya PKR dan DAP yang bersetuju untuk menarik penyertaan ke acara tersebut buat masa ini.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.