Najib tandatangani ikrar integriti p'raya

VIDEO l 1:03 secs

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya Transparency International untuk mempertahankan integriti dan menyatakan komitmen beliau kepada agenda negara untuk membanteras rasuah khususnya menjelang pilihan raya umum ke-13.

NONEIkrar Intergriti Pilihan Raya Transparency International adalah sosial kontrak sukarela kepada calon yang bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 sebagai ikrar untuk mempromosikan integriti, urustadbir kerajaan dengan baik, ketelusan dan akauntabiliti dalam kerajaan di peringkat negeri dan pusat serta mempertahankan keluhuran undang-undang.

Majlis tandatangan tersebut disaksikan oleh Presiden Transparency International-Malaysia Datuk Paul Low dan Timbalan Ketua Operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Mohd Shukri Abdull dalam satu majlis ringkas di pejabatnya hari ini.

NONENajib kemudiannya menyerahkan ikrar tersebut kepada Low yang disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan pemimpin parti kompenan BN.

Dalam kenyataan media yang diedarkan menyebut, ikrar tersebut menetapkan empat perkara terhadap calon BN yang akan bertanding dalam pilihan raya itu kelak. Dokumen tersebut menyenaraikan:

  • Calon mestilah melihat prinsip kebenaran, integriti, etika dan telus termasuk tidak menerima atau memberi rasuah atau terlibat dalam apa cara perlakuan rasuah.
  • Calon mesti mempertahan dan memberi keutamaan kepada kepentingan rakyat keseluruhannya.
  • Calon mesti mempraktik urustadbir kerajaan yang baik dan ketelusan.
  • Calon mesti terikat dengan undang-undang dan peraturan yang terpakai di Malaysia.

Mengulas ikrar berkenaan, Najib berkata beliau akan memastikan semula calon BN akan turut menandatangani dokumen tersebut.

NONE"Calon daripada BN dan parti komponennya  telah menjalani proses saringan dengan SPRM, ia bersesuaian bahawa mereka kini menyatakan komitmen untuk pilihan raya bersih dan adil dengan melangkah satu tapak ke hadapan, menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya," kata Najib dalam kenyataan yang diedarkan kepada media.

Kenyatan itu juga menyebut, calon yang menandatangani ikrar tersebut bersetuju mendokong Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan peraturan didalamnya serta memastikan tindakan dan keputusan mereka memberi faedah kepada rakyat umum dan bukannya untuk kepentingan diri sendiri.

Ditemui pemberita selepas majlis tersebut, Paul berharap semua pihak termasuk calon Pakatan Rakyat dan Bebas supaya menandatangani ikrar tersebut sepertimana yang dilakukan oleh BN pada hari ini.

"Bagaimanapun terserahlah kepada mereka (untuk membuat keputusan).

"Kita mahu calon yang berintegriti dan ia sebagai usaha melawan korupsi bagi mengubah kepada bentuk budaya politik baru di Malaysia," katanya.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.