Rosmah mahu penjawat awam jawab 'tohmahan'

Penjawat awam di negara ini wajar memberi penjelasan terhadap tohmahan dan serangan daripada pihak pembangkang sekiranya perkara tersebut berada di luar batasan kebenaran, kata isteri perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Rosmah yang juga Penaung Persatuan Suri Dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) berkata penjawat awam yang menjadi 'orang tengah' antara rakyat dan kerajaan juga mesti memberi perkhidmatan terbaik melangkaui harapan rakyat, mengurangkan kerenah birokrasi serta profesional dan mesra, cepat dan tepat, serta menghasilkan pulangan yang berganda kepada kekayaan negara.

"Selain itu, mahu tidak mahu penjawat awam wanita khususnya mesti berfikir di luar lingkungan kotak. Kita seharusnya berfikiran kritis dan konstruktif dalam menunaikan tanggungjawab dan amanah dengan mencari penyelesaian-penyelesaian kreatif dan inovatif di luar kelaziman," katanya pada Majlis Pertemuan Mesra Bersama Puspanita Kebangsaan di Seri Perdana di Putrajaya hari ini.

Majlis yang julung kali diadakan itu disertai kira-kira 800 ahli Puspanita, dan turut hadiri isteri timbalan perdana menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman merangkap Naib Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri  dan Timbalan Menteri (BAKTI) dan Yang Dipertua Puspanita Datin Seri Rohani Abdullah.

Rosmah berkata penjawat awam wanita juga perlu berkhidmat untuk rakyat sebagai satu keluarga besar tanpa wujud budaya dan  mentaliti keterpisahan antara keduanya, berbanding selama ini rakyat dianggap sebagai pelanggan.

"Dalam erti kata lain, khidmat yang diberi hendaklah mencerminkan kesungguhan sepertimana kita ingin memberi yang terbaik kepada keluarga sendiri," katanya yang turut menyatakan bahawa integriti penjawat awam juga memainkan peranan penting dalam  meraih kepercayaan dan keyakinan rakyat.

Mengenai Puspanita, Rosmah berkata setelah 30 penubuhannya, sudah tiba masanya Puspanita mentransformasikan persatuan supaya  menjadi lebih responsif, berani, progresif dan keluar dari zon selesa.

Beliau turut menyarankan persatuan itu melaksanakan program yang berorientasikan masyarakat melalui aktiviti kemasyarakatan atau turun padang, dan menyediakan platform kepada penjawat awam dan isteri untuk menjadi sukarelawan.

"Saya cukup yakin melalui program bersama rakyat setempat akan memberi pendedahan kepada ahli-ahli Puspanita dalam  usaha-usaha kemanusiaan dan membina kemahiran berkomunikasi, bekerjasama di dalam satu pasukan dan bersosial dalam budaya dan  cara hidup yang pelbagai.

"Secara tidak langsung negara kita dapat melahirkan penjawat awam yang bukan saja cemerlang dan mempunyai mutu kerja yang  tinggi tetapi bergiat aktif dalam aktiviti kesukarelaan dan kemasyarakatan," katanya.

Puspanita yang ditubuhkan pada 1 Mac 1983 mempunyai 104,000 ahli sehingga Jun tahun lalu.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.