PKR: K'jaan baru terpaksa warisi projek tren KL-S'pura

PKR mempertikaikan pengumuman perdana menteri untuk membina sistem keretapi laju menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura ketika tempoh mandat BN sebagai kerajaan bakal berakhir tidak lama lagi.

Pengarah strateginya Rafizi Ramli berkata, projek itu bakal "mewariskan kerajaan baru kelak dengan pelbagai implikasi kewangan yang merugikan rakyat dan negara".

Menurutnya, itu bakal menelan belanja sehingga RM13 bilion apabila dilaksanakan kelak walaupun kos berkenaan sebelum ini dianggarkan berjumlah RM8 bilion.

Beliau mencadangkan, jumlah itu sepatutnya boleh digunakan untuk menaik taraf sistem pengangkutan awam antara bandar untuk mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian.

"Oleh yang demikian, keutamaan negara sepatutnya membina sistem kereta api laju antara bandar menghubungkan bandar-bandar utama dari Perlis ke Johor Bahru dan Pantai Timur ke Pantai Barat," katanya.

Menurutnya, perkara itu adalah sebahagian daripada komitmen jangka panjang Pakatan Rakyat seperti digariskan dalam manifesto mereka.

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam bahawa Malaysia dan Singapura bersetuju untuk menjalankan projek yang didakwa akan memendekkan perjalanan Kuala Lumpur ke Singapura kepada 90 minit.

Menurut Najib, projek itu akan menjadi titik perubahan dalam konteks hubungan Malaysia dan Singapura dan turut mengubah tanggapan masyarakat dunia ke atas kedua-dua negara.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.