Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri akan mendedahkan rekod mesyuarat bersama Tenaga Nasional Bhd (TNB) berhubung projek pemasangan kabel berkuasa tinggi di Kampung Sungai Terentang, Rawang.

Katanya rekod mesyuarat melibatkan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) itu akan membuktikan bahawa TNB sememangnya mengemukakan cadangan laluan alternatif untuk kabel berkenaan agar tidak melalui kampung tersebut.

"Mereka datang dan berjumpa kita di MTES dan mereka ada cadangan mengenainya (laluan alternatif). Saya terima (cadangan) dan mengatakan itu tugas mereka (TNB) dan kerajaan negeri akan menyokong. Itu saja yang saya kata.

"Saya tidak melihat mekanismenya kerana TNB yang sepatutnya bertanggungjawab mengenainya.

"Ya MTES akan dedahkannya," katanya lagi ketika ditanya dalam sidang media selepas mesyuarat majlis kerajaan negeri hari ini.

Kenyataan itu bagi menjawab dakwaan naib presiden TNB Datuk Rozimi Remeli bahawa kerajaan negeri masih menghalang usaha tersebut walaupun telah mencapai persetujuan dengan syarikat utiliti tersebut.

Rozimi mendakwa, kesan daripada itu, penjanakuasa elektrik baru di Manjung, Perak tidak dapat membekalkan tenaga ke Lembah Kelang.

Beliau yang dipetik dalam laporan Berita Harian itu memberi amaran, Lembah Kelang akan berdepan krisis tenaga dalam tempoh lima tahun sekiranya perkara itu tidak ditangani.

Sementara itu, Khalid juga mengumumkan bahawa Kerajaan negeri akan berjumpa dengan pihak berkuasa tempatan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) untuk berbincang tentang isu banjir kilat di Puchong pada hari Isnin lalu.

Katanya beliau telah menghubungi Yang Dipertuan MPSJ Datuk Asmawi Kasbi dan akan mendengar taklimat mengenai sebab kejadian banjir tersebut.

"Kita telah hubungi YDP dan dia akan memberi taklimat tentang penemuan kenapa banjir kilat itu berlaku.

"Jadi daripada keputusan penemuan itu, kita mesti profesional dan akan membuat pengumuman serta plan untuk memperbaiki infranstruktur," katanya.

Banjiir kilat besar yang berlaku di kawasan kompleks membeli belah IOI dan menenggelamkan sebahagian Lebuh Raya Damansara-Puchong.

ADS