Azizan, 10 anggota exco Kedah angkat sumpah

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak serta 10 anggota exco kerajaan negeri Kedah, mengangkat sumpah di hadapan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit Bukit, di Alor Setar hari ini.

Azizan ketika ditemui selepas majlis berkenaan berkata pelantikan barisan exco itu dibuat memandangkan tempoh lantikan mereka akan berakhir pada 28 Februari ini dan portfolio masing-masing dikekalkan.

"Lepas 28 Februari ni masa tu kalau berlaku pilihan raya, sementara nak keluar keputusan dah ada pemegang jawatan, portfolio masih berjalan sampai angkat sumpah Menteri Besar dan exco baru (lepas pilihan raya)," katanya kepada pemberita di Alor Setar hari ini.

Kedah merupakan satu-satunya negeri dengan jawatan pengerusi jawatankuasa peringkat negeri (exco) perlu diperbaharui setiap tahun.

Menurut senarai exco yang dikeluarkan, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul dilantik semula sebagai Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelajaran dan Koperasi, Pembanguan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan.

Datuk Phahrolrazi Zawawi kekal sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, manakala Datuk Amiruddin Hamzah memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perumahan, Kerja Raya, Pertanian dan Industri Asas Tani dan Bioteknologi.

Datuk Dr Hamdan Mohamed Khalib dilantik semula sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Belia dan Sukan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, manakala Datuk Siti Aishah Ghazali masih menyandang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Masyarakat.

Datuk Dr Ismail Salleh memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO), Sains dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, manakala Datuk S Manikumar pula sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, HalEhwal Masyarakat India dan Hal Ehwal Masyarakat Siam.

Lim Soo Nee, Abd Ghani Ahmad dan Tan Joon Long @ Tan Chow Kang juga masing-masing menerima tawaran pelantikan semula itu.

Lim kekal memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Perpaduan dan Pengurusan Sumber Manusia; Abd Ghani sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Insan dan Pembangunan Usahawan; manakala portfolio Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Pengangkutan kekal disandang Tan.

Sementara itu, portfolio Azizan turut dikekalkan iaitu sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perancang Ekonomi Negeri, Perancang Negeri, Hal Ehwal Tanah, Hasil Bumi dan Sumber Asli, Majlis Tindakan Negeri, Keselamatan Negeri, Kewangan dan Syarikat Milik Kerajaan.

-Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.